Tak buang di sungai, Johor Plantation Group amalkan 'zero discharge' air dari ladang sawit


  • Massa
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Segala proses pelepasan air yang mengalir dari ladang sawit diproses dengan teliti. — JPG

SETIAP proses dalam sistem pengurusan ladang sawit memerlukan komitmen menyeluruh bagi memastikan operasi berjalan mengikut standard kelestarian yang ditetapkan.

Justeru, pelaksanaan kerja di ladang bukan sahaja melibatkan aspek pengeluaran hasil.

Malah, turut merangkumi pengurusan tanah, kawal selia air, penggunaan baja dan racun secara berhemah serta pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar.

BACA LAGI: Kaedah interaktif sesuai untuk semua, MEME lancar modul 'online' percuma kongsi ilmu konflik manusia-gajah

BACA LAGI: Generasi muda tak perlu bimbang, Felda tetap bantu jika projek pertanian gagal dapat pulangan

Pihak kilang atau peladang perlu mengambil langkah menyeluruh bagi mengelak pencemaran. — JPG

Susulan itu, Johor Plantation Group Berhad (JPG) menegaskan komitmen pihaknya terhadap pengurusan lestari dalam operasi perladangan sawit.

Menjawab persoalan tentang kualiti air mengalir dari ladang sawit yang menjadi kebimbangan ramai, Timbalan Pengurus Jabatan Lestari JPG, Nur Nadia Azman berkata, ia bergantung kepada cara pihak pengurusan terbabit.

"Kita perlu lihat langkah-langkah daripada pihak kilang atau ladang terlibat untuk mengelakkan air yang mengalir itu tercemar.

"Sama juga di Johor Plantation Group Berhad, sebelum nak melepaskan air daripada kilang, kita akan melakukan beberapa langkah.

Nur Nadia (tengah) bersama pasukan JPG pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Paradigm Mall, Johor, Sabtu lalu. 

"Contohnya, kita akan buat sampel dahulu kerana untuk merawat air akan melalui beberapa sistem sebelum melepaskannya.

"Kami di sini juga amalkan zero discharge bermaksud bukan lepaskan air secara terus ke sungai dan sebagainya, tetapi di kawasan rata dipanggil land application.

"Akhir sekali, daripada air yang kita keluarkan, akan gunakan semula di ladang," katanya ketika ditemui Majoriti pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF Siri 3 di Paradigm Mall, Johor Bahru, minggu lalu.

Beliau turut menjelaskan bahawa kawasan berhampiran sungai sememangnya dipelihara melalui pembinaan zon penampan (buffer zone) bagi menghalang baja atau racun perosak mengalir ke dalam sumber air.

Menurutnya, semua fasiliti JPG juga dibangunkan berdasarkan projek Kompleks Integrasi Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) yang mendapat pengiktirafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Selain aspek pengurusan operasi, JPG kini giat mempromosikan program Satu Juta Pokok untuk Masa Depan (1MRFF) sebagai usaha memulihkan kawasan biodiversiti secara menyeluruh.

Program 1MRFF merupakan usaha menambah baik biodiversiti kawasan sekitar Johor. — JPG

Kempen tersebut turut menyasarkan penanaman sebanyak satu juta pokok dalam tempoh 10 tahun.

"Untuk program ini bukan sahaja melibatkan kawasan dalaman Johor Plantation Group, tetapi juga kawasan luar yang kita boleh tambah baik atau tingkatkan kelestariannya.

"Jadi, kita lebih fokus kepada pokok hutan, sama ada pokok bakau atau meranti.

"Kalau sesiapa yang ingin berkolaborasi bersama boleh berjumpa dengan kita untuk bincang pokok apa yang ada dan sebagainya.

"Ia melibatkan semua pihak bukan sahaja korporat tetapi individu juga," ujarnya.

Beliau menambah, konsep tree adoption juga diamalkan beserta kelengkapan dokumentasi dengan laporan perkembangan pokok.

Untitled design - 5

Antara aktiviti menarik yang disediakan oleh pasukan JPG sepanjang program Jelajah Sawit Hijau MPOGCF.

Penyertaan boleh dibuat melalui laman web rasmi JPG untuk proses pemilihan pokok.

"Setiap individu boleh sertai program ini dengan adopt satu pokok dan pihak kami akan menjaganya serta beri laporan untuk peserta tengok perkembangan.

"Pada masa sama peserta boleh dapat pengecualian cukai daripada sumbangan itu," katanya.

Usaha tersebut turut diperluaskan dengan pendedahan kolaboratif bersama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menerusi program Jelajah Sawit Hijau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram