TAMPIL berbeza dan berani, pereka fesyen terkemuka tanah air, Hatta Dolmat mempersembahkan koleksi terbaharunya bertemakan The Quiet Power di pentas Fashionably Modest Asia (FMA) 2025 yang berlangsung di Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur pada Khamis.
Pertunjukan istimewa itu turut membuka tirai dengan penuh bergaya melalui persembahan visual yang mengangkat martabat wanita moden.
Memilih tema tersebut, Hatta atau nama sebenarnya Muhammad Hatta Dolmat menjelaskan bahawa ia membawa maksud kekuatan dalam ketenangan.
BACA LAGI: 'Bakal masuk keluarga besar', pasangan dedah baru tahu karakter Tiz Zaqyah sebagai anak tunggal
BACA LAGI: ‘Ajar memaafkan, bantu bila perlu’, anak dibuli, wanita bertindak hubungi ibu bapa 'pembuli'

Kombinasi warna terang melambangkan kekuatan dalam ketenangan.
Katanya, ia juga menjadi dedikasi eksklusif kepada wanita moden, tetapi masih mengekalkan kesopanan, penuh ketenangan, keanggunan dan kekuatan yang diekspresikan dengan keyakinan serta kelembutan.
Dalam gabungan luar biasa antara fesyen dan semangat nasional, Hatta turut menampilkan barisan Icon Walk istimewa bersama para wirawati Malaysia.
Dari arena sukan ke pentas peragaan, seramai tujuh ikon di negara ini menyerlahkan tema utama koleksinya.
Antaranya ialah Juara Dunia Lawn Bowl 2023 dan penerima Anugerah Podium 2024 bagi Atlet Wanita Kebangsaan, Nor Farah Ain; pemain skuad bola jaring kebangsaan, Noramirah Dayana Noor Azhar; perenang muda, Isabelle Chiyi Buckley; atlet bola sepak wanita, Nur Izwani Azman; atlet boling wanita, Natasha Mohamed Roslan; pemain boling negara, Nur Hazirah Ramli dan pendaki, Siti NurSara.

Hatta (empat dari kanan) bersama barisan 'Icon Walk' untuk koleksi baharunya pada FMA 2025.
"Konsep kali ini sedikit berbeza dan lebih fokus kepada wanita yang modest (sopan) tetapi tak perlu lantang pun.
"Bagaimanapun, mereka tetap muncul dalam sesuatu tempat atau hasilkan kerja-kerjua dengan mengeluarkan aura serta tenaga yang hebat seperti atlet-atlet ini.
"Kuasanya tenang, tetapi tidak dapat dinafikan. Dia adalah seorang wirawati, wanita luar biasa, kuat dalam jiwa dan anggun dalam tindakan.
"Kecemerlangan mendefinisikan dirinya, sama ada dalam kepimpinan, seni, inovasi atau sukan.
"Dia membawa identiti serta imannya dengan bangga, membuktikan bahawa kesopanan bukanlah halangan, tetapi lambang kekuatan, kehadiran dan keteguhan," katanya kepada Majoriti.

Koleksi 'The Quiet Power' menampilkan sisi penuh keberanian dalam kelembutan wanita.
Selain tujuh atlet berkenaan, penyanyi dan aktivis terkenal, Zizi Kirana turut melengkapkan barisan ikon itu.
Sosok Zizi juga menampilkan ketabahan dan hala tuju melalui penyertaannya dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza sebelum ini.
Peranannya dalam Sumud Flotilla sekali gus melangkaui status selebriti untuknya terus berjuang membanteras penindasan.
Keputusan memilih Zizi sebagai ikon juga tidak dinafikan bukanlah proses yang mudah buat Hatta.
"Sebenarnya Zizi tak mudah untuk dijemput terutama ke majlis-majlis sebegini.
"Tetapi, Hatta jelaskan matlamat kali ini adalah untuk penghargaan kepada mereka yang mengharumkan nama negara," katanya.
Hatta menambah bahawa setiap busana yang disediakan kepada kesemua ikonnya juga berdasarkan keselesaan diri dan karakter masing-masing.

Noramirah Dayana (busana putih) antara atlet yang melengkapi barisan 'Icon Walk' Hatta Dolmat.
Menurutnya, pemilihan busana sememangnya dilakukan secara teliti agar dapat memberi keyakinan kepada si pemakai.
"Setiap kali sesi fitting dan styling baju, Hatta akan tanya kalau mereka selesa atau tidak.
"Macam busana Isabelle Chiyi yang pada awalnya rasa tak selesa dan takut jatuh dan saat akhir kita tukar.
"Jadi, di sini bukan senang-senang ambil baju dan pakaikan pada mereka sebab kita nak semua ikon memperagakan setiap busana dengan gembira dan yakin," jelasnya.
Malam penuh makna itu turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga oleh Amad Dayyan dan penyanyi berbakat, Amelya Azizan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
