Pelancaran buku panduan pengecaman tapak hidupan liar meriahkan kemuncak Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025


  • Massa
  • Ahad, 23 Nov 2025

Program Jelajah Sawit Hijau oleh MPOGCF memberi pelbagai pendedahan dan ilmu alam semula jadi kepada masyarakat.

MERIAH dan bermanfaat. Dua perkataan ideal menggambarkan kemuncak Siri Jelajah Sawit Hijau MPOGCF (Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia) 2025 yang berlangsung di Melawati Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Selepas singgah di tiga lokasi iaitu Zon Utara (Alor Setar, Kedah), Zon Pantai Timur (Kuala Terengganu, Terengganu) dan Zon Selatan (Johor Bahru, Johor), acara berkonsepkan infotainment itu melabuhkan tirai di Zon Lembah Klang dengan 'meninggalkan' pelbagai ilmu dan maklumat menarik untuk masyarakat.

Para penggunjung tanpa mengira usia dan latar belakang bukan sahaja berpeluang memahami dengan lebih jelas mengenai kelebihan industri sawit negara, bahkan turut didedahkan akan kepentingan memulihara dan melindungi hidupan liar.

BACA LAGI : Malaysia bakal sertai IUCN, bukti serius promosi, pertahan industri sawit negara 

BACA LAGI : Bakal lancar buku Tapak Hidupan Liar, MPOGCF ada hasrat 'terbangkan' siri Jelajah Sawit Hijau ke Borneo

Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad berkata, Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 anjuran MPOGCF menjadi platform meningkatkan kesedaran dan menepis persepsi masyarakat terhadap industri sawit, terutamanya membabitkan isu alam sekitar, biodiversiti dan kempen antisawit.

"Kita mahu masyarakat tahu bahawa Malaysia adalah pengeluar sawit kedua terbesar dunia, namun tidak melakukan penebangan hutan baharu.

"Industri sawit kita adalah mesra alam sekitar dan hidupan liar," katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 dan Pelancaran Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar di Lapangan di Melawati Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Empat siri jelajah termasuk Zon Lembah Klang menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung. 

Turut hadir ialah Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Konservasi Hidupan Liar, Tuan Chek Salan @ Mohd Saiful Mohd Zain; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Andy Lee Yiew Meng; Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Parveez Ghulam Khadir serta Pengurus Suria FM, Borhanuddin Abdullah.

Lebih 50,000 pengunjung

Menurut Razali lagi, empat siri jelajah termasuk Zon Lembah Klang menerima sambutan menggalakkan dengan anggaran kehadiran lebih 50,000 pengunjung, sekali gus menunjukkan masyarakat tempatan semakin memahami komitmen industri terhadap kelestarian.

"Maklum balas yang diterima menunjukkan industri sawit negara diiktiraf sebagai industri mampan. Ini penting supaya masyarakat tidak terpengaruh dengan kempen antisawit yang tidak tepat," ujar beliau.

Bukan musuh alam sekitar

Sementara itu, Hairulazim pula memberitahu, acara tersebut digerakkan bagi menampilkan naratif sebenar bahawa industri sawit bukan musuh alam sekitar yang sering diperkatakan.

Katanya, pihak MPOGCF melabur jutaan ringgit setiap tahun dalam program konservasi termasuk perlindungan hidupan liar dan penanaman semula hutan.

"Kami memastikan produk berasaskan sawit dihasilkan secara mampan dan diterima pengguna global. Kempen seumpama ini secara tak langsung membantu masyarakat memahami usaha pemuliharaan yang dilaksanakan industri sawit termasuk di Indonesia," jelasnya.

Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar Di Lapangan diterbitkan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai spesies fauna yang hidup bersama ekosistem tanaman sawit.

Beliau menjelaskan, lebih RM10 juta dibelanjakan setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai program konservasi secara berterusan, selain melibatkan komuniti setempat dalam inisiatif penanaman semula serta perlindungan hidupan liar, khususnya golongan pekebun kecil.

“Kami juga turun padang ke sekolah bagi memberi pendedahan mengenai usaha pemuliharaan oleh industri supaya generasi akan datang memahami peranan sektor sawit dalam menjaga alam sekitar," ujarnya.

Perluas jelajah ke Sabah, Sarawak

Menurutnya, MPOGCF juga bercadang melebarkan siri jelajah ke Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan, susulan kejayaan siri penganjuran sebelum ini.

Bagi Zon Lembah Klang, Siri Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 menampilkan rakan strategik Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Earthworm Foundation (EF), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Barn Owl & Rodent Research Group.

Dalam perkembangan berkaitan, Hairulazim berkata, MPOGCF turut bercadang memohon keahlian dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) bagi memastikan maklumat tepat mengenai usaha kelestarian industri sawit dapat disalurkan terus kepada badan antarabangsa itu.

“IUCN merupakan autoriti yang menilai pematuhan negara terhadap aspek alam sekitar dan hidupan liar. Jika diterima sebagai ahli, kita dapat memastikan dasar digubal adalah berdasarkan data sebenar,” katanya.

Sementara itu, Borhanuddin Abdullah berkata, Suria FM sangat berbesar hati bekerjasama dengan MPOGCF dalam memupuk kesedaran untuk menyayangi kehidupan liar yang terancam seperti Orang Utan, gajah dan harimau.

"Ini juga adalah sebahagian daripada usaha Suria FM untuk mendidik masyarakat menjaga alam sekitar bagi generasi akan datang," katanya. 

Nur Hanis Akmal (kiri) bersama suami dan dua anak mereka teruja mengikuti aktiviti menarik Jelajah Sawit Hijau MPOGCF yang diadakan di Melawati Mall. 

Memilih tagline, Konservasi Kunci Sawit Mampan, Jelajah Sawit Hijau MPOGCF dibawakan dengan kerjasama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group.

Matlamat utama Jelajah Sawit Hijau MPOGCF adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan industri sawit negara.

Jelajah itu juga bertujuan menepis persepsi negatif terhadap minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Melalui acara kesedaran awam seumpama itu, pelbagai aktiviti dijalankan bagi menyalurkan maklumat, sekali gus menarik minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap kehidupan alam semula jadi di Malaysia.

Bagi seorang pengunjung, Nur Hanis Akmal, 34, beliau menyifatkan penganjuran siri jelajah itu sebagai platform bermanfaat yang bukan sahaja menawarkan pelbagai aktiviti menarik, malah sesuai disertai seisi ahli keluarga.

"Sebagai ibu, saya melihat banyak manfaat dan ilmu boleh diperoleh melalui acara ini.

"Aktiviti diadakan bukan sekadar hiburan, tetapi turut menyediakan penerangan dan pameran yang menambah pengetahuan. Hari ini saja, saya belajar pelbagai perkara baharu.

"Selain itu, acara ini juga memberi peluang kepada kami sekeluarga meluangkan masa berkualiti bersama, sesuatu yang sukar dilakukan dalam kesibukan rutin harian," katanya yang hadir bersama suami, Irwansyah, dan dua anak mereka.

Siti Nur Syahirah berpendapat Jelajah Sawit Hijau MPOGCF mampu membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Siti Nur Syahirah berkata, penganjuran siri jelajah seumpama itu bantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.

"Tidak ramai yang benar-benar memahami isu pemuliharaan hidupan liar atau peranan kita sebagai masyarakat dalam menjaga ekosistem.

"Sebab itu saya rasakan program seperti ini sangat penting bagi membuka mata orang ramai.

"Saya sendiri memperoleh banyak ilmu baharu tentang hidupan liar dan usaha pemuliharaan yang dijalankan.

"Sebagai pelajar universiti, sudah tentu saya menitikberatkan aspek kelestarian alam sekitar dan berharap lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan," katanya.

Para pengunjung berpeluang menyertai teka berat sawit, kuiz, segmen podcast bersama pihak MPOGCF dan rakan strategik serta sesi beramah mesra dengan penyampai radio Suria FM.

Selain itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan, antaranya Alyah, Zarul Umbrella dan Ameng Spring. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram