SIKAP jujur dan murah hati seorang peniaga burger menjadi tular di media sosial selepas dia memberi diskaun kepada pelanggan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang pelanggan berkongsi pengalaman membeli enam burger double di sebuah gerai Burger Red Cabin yang bagaimanapun tidak dinyatakan lokasinya.
Berdasarkan papan tanda menu, jumlah sepatutnya yang perlu dibayar ialah RM39 dengan setiap satu burger double berharga RM6.50.
BACA LAGI: Indonesia bakal laksana redenominasi, hapus ‘000’ pada rupiah menjelang 2027
Bagaimanapun, ketika membuat bayaran, peniaga wanita itu mengenakan caj RM36 sahaja, iaitu RM3 kurang daripada harga sebenar.
Terkejut dengan perbezaan harga tersebut, pelanggan berkenaan bertanya sebab di sebalik harga lebih murah itu.
"Harga tak sama, saya kira ikut harga di papan menu RM39 tapi masa bayar kakak tu kata RM36 saja.
"Saya tanya kenapa murah daripada menu, dia jawab — doakan akak murah rezeki selalu,” ceritanya.
Tersentuh dengan jawapan itu, pelanggan berkenaan meluahkan rasa kagum dan syukur, malah memuji keenakan burger serta layanan pantas diberikan.
“Alhamdulillah burger sedap, sos sedap, servis pun cepat,” tulisnya dalam hantaran itu.
Perkongsian itu mendapat reaksi positif ramai warga maya yang turut mendoakan agar peniaga berkenaan terus dimurahkan rezeki dan menjadi contoh kepada peniaga lain.
Malah ia diulang siar halaman Facebook Tak Viral Tapi Sedap yang berkongsikan ia mungkin salah satu cara peniaga bersedekah.
“Kalau semua peniaga seikhlas ni, insya-ALLAH pelanggan pun tak kedekut nak ulang beli,” tulis seorang pengguna, Hazimah Rajah.
Semoga makin ramai peniaga kecil yang menjadikan keikhlasan dan senyuman sebagai resipi utama kejayaan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
