Tiga beradik teruskan legasi keluarga ternak spesies purba, urus pusat penetasan belangkas di Sedili Kechil


  • Bisnes
  • Ahad, 09 Nov 2025

Pusat ternakan dan penetasan belangkas itu juga mengeksport haiwan artropod itu ke Thailand. — THOMAS YONG/The Star

DI kampung nelayan di Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor, sebuah pusat penetasan yang diuruskan keluarga meneruskan legasi memulihara salah satu makhluk hidup tertua di dunia, iaitu belangkas.

Pusat yang dikenali sebagai Pusat Ternakan dan Penetasan Belangkas Sedili Kechil itu sudah beroperasi sejak 1984 dan merupakan satu-satunya pusat penetasan belangkas di Johor.

Mohamad Khadi Redzuan berkata, premis tersebut diasaskan oleh bapanya, Ahmad Mustafa sebelum dikendalikan oleh mereka tiga beradik. 

BACA LAGI: Banyak perniagaan tutup di Bangi, ada yang cadang MAIS buat wakaf tunai

BACA LAGI: Medan selera sendu, lot banyak kosong, 'port' makan ikonik 60 tahun di PJ di ambang malap

Sedili Kechil horseshoe crab breeder Mohamad Khadi Redzuan Ahmad showing the two pincers that differentiate the female horseshoe crab from the male. — THOMAS YONG/The Star

Mohamad Khadi menunjukkan penjepit yang membezakan belangkas betina daripada jantan. — THOMAS YONG/The Star

“Saya merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan kami memutuskan untuk meneruskan legasi ayah.

“Pusat ini menumpukan kepada pemuliharaan tetapi ia juga merupakan perniagaan komersial,” katanya.

Pusat penetasan itu membiak spesies Tachypleus gigas dalam tujuh kolam yang meniru keadaan air laut semula jadi, termasuk pergerakan pasang surut.

“Setiap kolam menempatkan seekor belangkas jantan dan betina, dan proses daripada telur hingga matang mengambil masa sehingga 15 tahun.

“Belangkas muda diberi makan artemia (krustasea kecil) sehingga berusia dua tahun, kemudian kami menukar diet kepada ikan cincang, plankton dan alga," jelasnya.

Eggs produced by a female horseshoe crab. — THOMAS YONG/The Star

Telur yang dihasilkan belangkas betina. 

Mohamad Khadi Redzuan memberitahu, kualiti air juga perlu dipantau dengan teliti untuk memastikan belangkas sihat.

Menurutnya, pusat tersebut merekodkan kadar kelangsungan hidup sebanyak 79 peratus bagi belangkas muda.

“Apabila mencapai usia dua tahun, kira-kira 5,000 belangkas dilepaskan ke laut sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan.

“Program pelepasan ini penting kerana banyak belangkas liar kini tidak dapat bertelur di sepanjang pantai.

“Jaring nelayan sering menghalang pergerakan mereka dan ada yang tersekat sehingga mati,” ujarnya.

The size of juvenile horseshoe crabs are smaller than a 5 cents coin, as seen on the palm of a hand. — THOMAS YONG/The Star

Saiz anak belangkas lebih kecil daripada syiling lima sen.

Tambahnya lagi, pusat itu turut bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) untuk memantau populasi liar serta meningkatkan kaedah pembiakan.

Selain pemuliharaan, Mohamad Khadi Redzuan berkata, pusat itu juga mengeksport belangkas dewasa ke Thailand setiap beberapa bulan, bergantung kepada permintaan.

“Biasanya, kami mengeksport antara 200 hingga 300 ekor setiap penghantaran.

"Namun semasa musim puncak dari Februari hingga Mei, jumlahnya boleh mencecah sehingga 5,000 ekor,” kongsinya.

Sedili Kechil horseshoe crab breeder Mohamad Khadi Redzuan Ahmad digging the sand to place a stick marking the spot where the eggs have hatched. — THOMAS YONG/The Star

Mohamad Khadi Redzuan menggali pasir bagi meletakkan kayu untuk menanda lokasi telur belangkas ditetaskan. — THOMAS YONG/The Star

Pemuda itu turut menekankan bahawa darah biru spesies belangkas sangat bernilai untuk tujuan penyelidikan perubatan dan penghasilan vaksin.

“Sesetengah pihak percaya darahnya mempunyai khasiat penyembuhan,” ujarnya.

Walaupun menghadapi kos tinggi dan cabaran mengekalkan kualiti air, Mohamad Khadi Redzuan bertekad untuk mengekalkan legasi keluarganya.

“Harapan kami adalah generasi akan datang memahami kepentingan spesies purba ini.

“Kami juga bercadang menjadikan pusat ini sebagai destinasi pelancongan, supaya lebih ramai orang dapat mempelajari tentang belangkas, makhluk yang telah wujud sejak zaman dinosaur,” katanya. — The Star/MYSARA FAUZI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram