Kejohanan Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 rai juara serantau di Templer Park


  • Podium
  • Isnin, 10 Nov 2025

Pok Wen (tengah) dan Imran Marzuki (dua kanan) merangkul kejuaraan dalam kategori masing-masing di Grand Finals Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 pada 31 Oktober lalu.

KEJOHANAN Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 melabuhkan tirainya dengan menyaksikan juara bertahan Ong Pok Wen mengekalkan takhta selepas  dinobatkan sebagai Juara Nett.

Pok Wen sebelum itu merekodkan pencapaian mengagumkan apabila turut muncul Juara Nett dalam pusingan kelayakan di Templer Park pada 11 Julai lalu.

Sementara itu, Imran Marzuki turut menampilkan aksi cemerlang apabila merangkul gelaran Juara Gross dengan catatan 77 pukulan. 

BACA LAGI: KPRJ rasmikan pembukaan musim ulang tahun ke-30 menerusi acara golf eksklusif

BACA LAGI: Pusingan akhir AFFIN Cards Golf Challenge 2025 kemuncak sambutan Jubli Emas Kumpulan AFFIN

Kejohanan golf ini bukan sekadar pentas saingan, tetapi turut disulami nilai integriti dan semangat persahabatan.

Kemenangan itu meneruskan rentak kejayaan beliau selepas menjuarai kategori Gross di pusingan IOI Palm Villa Golf & Country Resort, yang merupakan siri terakhir sebelum Grand Finals berlangsung.

Kejohanan itu menamatkan musim 12 pusingan yang mendebarkan menerusi Grand Finals di Templer Park Country Club yang menyaksikan para juara daripada setiap siri bertemu untuk merebut gelaran tertinggi dalam salah satu kejohanan golf amatur paling berprestij di rantau ini.

Penganjuran kali kesembilan itu memperlihatkan Bridgestone ASEAN Amateur Open terus mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya di seluruh rantau Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Prestige Golf Sdn Bhd, Vasudevan Krishnan yang juga rakan rasmi serantau Bridgestone Golf, kejohanan berkenaan bukan sekadar pentas saingan, tetapi turut disulami nilai integriti dan semangat persahabatan.

Sebahagian peserta Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025.

“Dari Malaysia ke Singapura, Brunei, Vietnam, India dan seterusnya, kejohanan ini menyatukan para pemain golf yang berkongsi semangat persaingan, integriti dan persahabatan," katanya.

Beliau berkata, menjelang sambutan ulang tahun ke-10 pada 2026, pihaknya komited untuk menjadikan Bridgestone ASEAN Amateur Open lebih besar, lebih hebat dan lebih menarik bagi komuniti golf serantau.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia selaku penaja utama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Golf Malaysia (MGA) atas sokongan berterusan dalam memajukan pelancongan golf negara.

Majlis penutup penuh gilang-gemilang itu turut dihadiri oleh rakan kongsi utama dan tetamu kehormat, termasuk Naib Presiden Bahagian Perniagaan Luar Negara di Bridgestone Sports Co., Ltd., Yuichi Wada dan Pengarah Urusan SOKIO Corporation iaitu pengedar terbesar Bridgestone Golf, Shin Yongwoo.

Sambutan ulang tahun ke-31 Prestige Golf Sdn Bhd menyerikan lagi acara majlis malam Grand Finals. 

Turut hadir ialah para penaja, wakil kelab dari semua lokasi penganjuran sepanjang musim, serta wakil media yang dihormati.

Majlis malam Grand Finals turut diserikan dengan sambutan ulang tahun ke-31 Prestige Golf Sdn Bhd, sebagai penghargaan terhadap lebih tiga dekad sumbangan syarikat itu dalam memperkasa perkembangan golf di Malaysia dan rantau ini.

Dengan satu lagi musim berjaya ditutup, pentas kini terbuka untuk detik bersejarah akan datang apabila Bridgestone ASEAN Amateur Open bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-10 pada tahun 2026.

Penganjuran seterusnya itu bakal meraikan satu dekad memperjuangkan semangat golf amatur di seluruh Asia Tenggara.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini kejohanan akan datang, layari www.bridgestoneaseanamateur.com.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram