Hat Yai diisytihar bencana banjir ‘red-flag’, rakyat Malaysia terkandas, catu makan di hotel


  • Benua
  • Sabtu, 22 Nov 2025

Hat Yai merekodkan 544 milimeter hujan terkumpul dalam tempoh tiga hari. — Agensi

HAT YAI diisytiharkan sebagai zon bencana 'red-flag' selepas dua hari hujan lebat tanpa henti sehingga menyebabkan penduduk dipindahkan.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, wilayah-wilayah di Selatan sudah mempunyai pelan tindak balas, dengan bantuan susulan akan diberikan.

Banjir melanda Hat Yai lewat malam Khamis (20 November) selepas hujan berterusan selama dua hari menyebabkan sejumlah besar air memasuki kawasan komersial bandar itu, memaksa pihak berkuasa mengisytiharkannya sebagai kecemasan banjir 'red-flag' dan menggesa penduduk berpindah ke kawasan lebih selamat.

BACA LAGI: [VIDEO] Letupan kuat di Buenos Aires, wanita hamil keracunan gas toksik antara 20 cedera parah

BACA LAGI: [VIDEO] Netizen China dah ramal tak kukuh, jambatan 758 meter runtuh lepas berbulan dibuka

Hat Yai pernah dilanda banjir buruk pada November tahun lalu. — Agensi/ Gambar fail

Pada pukul 10 malam, Jumaat (21 November), Datuk Bandar Perbandaran Hat Yai, Narongporn Na Phatthalung, mengumumkan pengisytiharan bencana melibatkan 65 komuniti dengan 28 di Daerah 1, Daerah 2 (29) dan Daerah 3 (8).

Ia selepas hujan lebat menenggelamkan sistem perparitan dan menyebabkan air naik mendadak di seluruh kawasan bandar.

Datuk Bandar berkata, Hat Yai merekodkan 544 milimeter hujan terkumpul dalam tempoh tiga hari.

Hujan lebat di cerun Timur perbandaran, khususnya di sekitar Khao Kho Hong, lembangan Khlong Phae dan Khlong Rian, memaksa pihak berkuasa melepaskan air dari kawasan takungan Khlong Rian yang tidak lagi mampu menampung limpahan baharu.

Pelepasan air itu menghantar aliran besar ke dua saluran utama dalam Hat Yai iaitu Khlong Rian dan Khlong Sam Sip Met yang meningkatkan risiko banjir bandar berskala besar.

Penduduk memindahkan barangan pada waktu malam selepas hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan banjir. — Agensi

Amaran 'red-flag' mengarahkan penduduk memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi dan berpindah segera jika perlu.

Wartawan di lokasi melaporkan amaran tersebut mencetuskan panik di seluruh bandar, khususnya di zon komersial utama seperti Pasar Kim Yong, Pasar Santisuk dan Pasar Chee Chang.

Penduduk dilihat tergesa-gesa mengangkat perabot, memindahkan stok kedai dan mengalihkan kenderaan ke lokasi lebih tinggi, sekali gus menyebabkan kesesakan teruk di beberapa jalan utama.

Bercakap di terminal Udara Tentera Udara Wing 6 Don Mueang pada 8.10 pagi, Sabtu (22 November), Anutin yang turut memegang portfolio Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan sudah menjangka hujan lebat di Selatan dan telah menyediakan pelan tindak balas serta bantuan lebih awal.

Hujan lebat menenggelamkan sistem perparitan dan menyebabkan air naik mendadak di seluruh kawasan bandar. — Agensi

“Kami tahu ini adalah tempoh di mana kejadian seperti ini boleh berlaku, dan bantuan sedang disalurkan mengikut peraturan sedia ada,” katanya sambil menambah bahawa setiap wilayah mempunyai pelan kecemasan dan telah menggerakkan sumber masing-masing.

Ditanya mengenai pampasan untuk kerosakan pertanian, Anutin menjelaskan bahawa bantuan akan diberikan mengikut garis panduan rasmi.

Kawasan yang mengalami kerosakan luar biasa atau teruk boleh menerima bantuan tambahan mengikut pertimbangan kes demi kes.

Terdahulu, media melaporkan banjir itu turut mengakibatkan rakyat Malaysia yang bercuti ke Hat Yai terkandas di dalam hotel, sehingga ada yang terpaksa mencatu makanan.

"Sis mengenangkan kena catu makanan kat hotel. Ada bawa bayi dan budak kecil, jadi duduk diam-diam jela sampai surut,” kata Nabilah Norhisham di Thread. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram