USAHA meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara dan memulihara hidupan liar dalam ekosistem memerlukan pendekatan berterusan, bukanlah secara berkala.
Bagi memupuk pengetahuan dan pemahaman masyarakat, satu inisiatif baharu kini diperkenalkan oleh pihak Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME).
Penyelidit Utama MEME, Dr Wong Ee Phin berkata, pihaknya sudah melancarkan modul digital yang boleh diakses secara percuma secara dalam talian di laman sesawang MEME.

Gajah antara hidupan liar penting dalam membantu mengekalkan ekosistem alam. — Gambar hiasan
Menurutnya, pelaksanaan modul tersebut bertujuan memberi pendedahan lebih luas tentang kewujudan bersama manusia dan gajah.
Katanya, modul tersebut juga dicipta khusus buat komuniti, pihak peladangan, pemain industri dalam sektor pertanian termasuk pelajar sekolah.
"Jadi, kita nak cuba kongsikan sebanyak ilmu yang boleh tentang kepentingan, cabaran dan bagaimana konflik gajah dengan manusia ini berlaku di Malaysia.
"Kita juga kongsikan usaha yang dijalankan oleh pemegang-pemegang taruh projek kewujudan bersama gajah di Johor dan lokasi lain.

MEME bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam membantu mewujudkan keharmonian antara gajah dan manusia. — MEME
"Modul ini juga sangat senang kerana ada aktiviti interaktif dengan jalan penceritaan menarik menggunakan karakter animasi gajah dan seorang lelaki.
"Memang sangat menarik untuk semua peringkat umur belajar lagi tentang kelestarian alam melalui modul ini," katanya kepada Majoriti.
Dr Wong turut menekankan bahawa usaha itu perlu dilakukan secara berterusan dari pelbagai pihak.
Menurutnya, program bersama komuniti serta kerjasama dengan pelbagai pihak bertanggungjawab juga amat penting.

Antara aktiviti yang disediakan oleh MEME pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Paradigm Mall, Johor, Sabtu lalu.
"Tanggungjawab untuk menjaga hidupan liar termasuk gajah, harimau dan lain-lain sebenarnya tanggungjawab bersama.
"Bukan satu pihak atau agensi sahaja. Penglibatan komuniti masyarakat Malaysia ini juga sangat penting sekali sebab hidupan liar dah berkurang.
"Jadi, perlu ada usaha untuk memastikan habitat mereka terus terjaga dan terpelihara," ujarnya.
MEME pada masa sama giat menjalankan usaha untuk lebih dekat dengan masyarakat menerusi program Jelajah Sawit Hijau bersama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
