IKHLAS Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) akan terus memperkukuh dua teras utama perniagaannya iaitu umrah dan pelancongan, dengan rancangan untuk memperluas segmen pelancongan mesra Muslim pada tahun hadapan.
“Segmen umrah kami mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan peningkatan dua kali ganda setiap tahun sejak dua tahun setengah lalu.
"Bagaimanapun pelancongan masih belum diteroka sepenuhnya. Bermula tahun depan, kami akan memberi tumpuan lebih besar terhadap sektor pelancongan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
BACA LAGI: Ikhlas.com bawa pendekatan segar didik anak muda kewajipan bayar zakat

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan AirAsia memperkenalkan destinasi baharu seperti Tashkent, Istanbul, Almaty, ikhlas.com berhasrat menyokong rangkaian tersebut melalui pakej dan pengalaman perjalanan mesra Muslim yang lebih menyeluruh.
Katanya, segmen pelancongan patuh syariah itu juga dijangka berpotensi ke Azerbaijan dan Eropah.
Dalam masa sama, syarikat itu turut merancang memperkenalkan inisiatif berasaskan wakaf sebagai sebahagian daripada pengembangan produk gaya hidup Islam yang ditawarkan.
Ikhlas turut memaklumkan bahawa ikhlas.com giat melaksanakan kempen 'Umrah 1,000 Asnaf'’, iaitu inisiatif menaja 1,000 golongan asnaf untuk menunaikan umrah, bersempena ulang tahun kelima penubuhan syarikat tersebut.
Katanya, pada masa sama, pihaknya juga sedang mengkaji potensi memperkenalkan produk baharu berasaskan wakaf sebagai kesinambungan kepada rangkaian perkhidmatan gaya hidup Islamik yang ditawarkan.
"Kami bukan badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak mengambil sebarang peratusan daripada dana zakat. Setiap satu ringgit yang diterima, satu ringgit juga diagihkan kepada asnaf. Pendekatan kami telus, berstruktur dan berteraskan amanah," katanya.
Ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah.
Selain perkhidmatan umrah dan pelancongan mesra muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan akikah, fidyah, korban, sedekah dan lain-lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
