
TIDAK semua yang berharta mampu sampai ke sana dan tidak semua yang sederhana terhalang daripada menjadi tetamu-Nya. Setiap langkah ke Tanah Suci adalah panggilan istimewa dengan ia datang tepat pada masa sudah ditentukan ALLAH, bukan manusia.
Bagi bekas tonggak futsal kebangsaan, Mohamad Feroz Ab Karnim, panggilan itu hadir pada saat dia tidak lagi berada di puncak kerjaya dan ketika kehidupannya jauh lebih sederhana.
Namun di sebalik ujian, di situlah hadirnya rezeki yang paling berharga apabila peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci hadir selepas berdepan pelbagai ujian hidup termasuk gaji tertunggak hampir dua tahun.
BACA LAGI: Golf amal Pekema sasar kutipan RM150,000 bantu rumah kebajikan, sedia pertimbang tolong ahli Yakeb
Mohamad Feroz, 41, yang kini bekerja sebagai penghantar surat berkata, peluang menunaikan umrah kali ini dianggap sebagai rezeki luar jangka dan balasan daripada Tuhan atas amal kebajikan dilakukan selama ini.
"Masa saya aktif main futsal dulu, duit memang ada. Tapi walau niat nak pergi (umrah) dah lama, tak sampai-sampai juga. Orang cakap kalau ALLAH tak seru, kita takkan sampai.
"Dulu gaji sangkut, sebulan dapat, lepas itu kena tunggu dua tahun. Saya kena buat kerja part-time. Tapi sekarang masa saya tengah tak senang, ALLAH bagi peluang ini.
"Alhamdulillah, rezeki ini mungkin datang sebab doa keluarga dan amalan kecil saya bantu komuniti," ujarnya kepada Majoriti dengan mata berkaca sambil tidak henti-henti menuturkan Alhamdulillah.
Bagi bekas tonggak futsal kebangsaan, Mohamad Feroz Ab Karnim.
Mohamad Feroz turut percaya bahawa keberangkatannya ke Tanah Suci tidak terlepas daripada doa ahli keluarga khususnya kakaknya yang baru pulang daripada menunaikan umrah dua minggu lalu.
Pemenang pingat perak Sukan SEA Thailand itu masih diingati penduduk setempat sebagai seorang yang ringan tulang, malah ketika berkahwin dahulu, kendurinya dibiayai secara gotong-royong oleh penduduk yang menghargai jasanya.
"Dekat sini saya banyak buat kerja-kerja amal. Bukan saya nak cakap apa lah, masa saya tengah tegap dulu, saya banyak bantu orang-orang sini. Duit saya banyak habis ke situ untuk komuniti.
"Memang tidak ada simpanan untuk saya, memang orang cakap mungkin tak ada. Tapi apa yang mereka perlukan, saya boleh. InsyaALLAH saya memang bantu komuniti-komuniti sini," kongsinya.
Mohamad Feroz ketika bersama wakil pihak ikhlas.com, YAKEB dan Majoriti.
Walaupun tidak lagi aktif sepenuh masa sebagai pemain, Mohamad Feroz masih terbabit dalam dunia futsal dengan menjadi pengkritik dan komentator untuk perlawanan serta melatih pemain akar umbi secara sambilan.
Namun di sebalik kesibukan dengan bekerja sebagai penghantar surat, kadang membuat kerja sambilan serta membantu akar umbi futsal tanah air, kasihnya terhadap anak perempuannya, Nur Aina Feroz Abdul Nur tetap menjadi keutamaan.
"Aina tak boleh berenggang. Macam belangkas. Nak turun pergi kedai pun tak boleh. Kadang-kadang makcik saya dan kakak saya bawa dia pergi Port Dickson ke apa, malam mesti video call.
"Kalau dia tidur malam, saya di luar, dia punya keluar menangis macam bapa dia meninggal dunia. Dia ingat saya di mana kan. Kalau ke umrah nanti, dia tidur dengan kakak dan keluarga," katanya sambil memberitahu Aina merupakan anak angkat.
Mohamad Feroz menamatkan kariernya pada tahun 2008 dan beralih arah ke bidang kejurulatihan pada 2009.
Mohamad Feroz yang ditemui di kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur antara lima bekas atlet menerima tajaan program umrah Jejak Asnaf anjuran bersama Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Majoriti.
Program berkenaan memberi peluang kepada bekas atlet yang pernah berjasa kepada negara untuk menunaikan umrah sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka selama ini.
"Terima kasih kepada YAKEB, Ikhlas dan semua yang terbabit. Rezeki saya tahun ini, masa saya tak ada duit, tapi ALLAH izinkan saya sampai ke Tanah Suci,” katanya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram