Ikhlas.com bawa pendekatan segar didik anak muda kewajipan bayar zakat


  • Bisnes
  • Selasa, 28 Okt 2025

Ikhlas (dua kanan) ketika berada di pejabat Ikhlas.com di Ampang, Kuala Lumpur.

IKHLAS Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) berhasrat memperkukuh usaha pendidikan dan kesedaran zakat dalam kalangan generasi muda yang masih kurang memahami kewajipan rukun Islam keempat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya mahu mendidik segmen pasaran baharu, khususnya golongan muda tentang kewajipan zakat dan kepentingannya dalam ekonomi Islam.

“Ramai anak muda hari ini tidak sedar bahawa zakat itu wajib. Jadi, kami mahu mendekati mereka dengan pendekatan lebih segar dan mudah difahami,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran edisi kedua Zakat Fest 2025 yang berlangsung di Air Asia RedQ Sepang, pada Selasa. 

BACA LAGI: Ikhlas.com sasar kutipan zakat RM100 juta tahun depan, mahu terajui platform digital di Malaysia

BACA LAGI: Dari kuih 3 sekawan hingga sambal hitam, Pekan Sehari nadi ekonomi komuniti Temerloh

Program Zakat Fest 2025 yang memasuki edisi kedua berlangsung di RedQ, Sepang, pada Selasa.

Menurutnya, pelanggan utama ikhlas.com juga kini terdiri daripada golongan umur 30 hingga 40 tahun, yang dilihat lebih terbuka terhadap gaya hidup Islam digital, termasuk dalam perkhidmatan umrah, ibadah korban dan sedekah.

“Kami percaya, apabila generasi muda memahami dan menunaikan zakat secara konsisten, impak sosial dan ekonomi umat Islam akan jadi lebih kuat dan lestari,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ikhlas berkata, setakat ini sebanyak 46 syarikat telah menunaikan zakat melalui platform tersebut, dengan sasaran untuk mencapai 56 syarikat menjelang akhir tahun ini.

“Dalam kumpulan Capital A sahaja, kini terdapat 26 syarikat di bawah AirAsia yang sudah menunaikan zakat bersama kami, berbanding hanya 19 sebelum ini. Ini menunjukkan peningkatan dan komitmen berterusan daripada syarikat-syarikat di bawah kumpulan tersebut,” katanya.

Menurut Ikhlas, kutipan zakat melalui platform itu merangkumi pelbagai kategori termasuk zakat perniagaan, zakat fitrah, zakat individu, zakat saham dan zakat emas.

“Kami bukan sahaja mengutip, tetapi turut mengurus dan mengagihkan zakat kepada golongan kurang bernasib baik dalam kalangan warga ‘All Stars’ iaitu kakitangan di bawah AirAsia Berhad.

"Ia menunjukkan bagaimana dana zakat dapat kembali memberi manfaat kepada ekosistem yang sama,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa ikhlas.com mempunyai struktur pengurusan lengkap meliputi pasukan CSR, agihan dan kutipan zakat yang beroperasi secara telus dan profesional.

Sementara itu, mengulas mengenai aplikasi mudah alih ikhlas.com, Ikhlas menjelaskan bahawa platform tersebut turut menyokong Skim Potongan Gaji (SPG) yang diperkenalkan oleh badan zakat negeri.

“Menerusi SPG, kakitangan boleh menunaikan zakat terus melalui potongan gaji sebanyak 2.5 peratus atau menukar potongan PCB kepada bayaran zakat.

"Majikan hanya perlu menyerahkan fail gaji kepada kami dan semua maklumat transaksi boleh disemak terus melalui aplikasi,” katanya.

Aplikasi itu turut menawarkan kemudahan seperti resit digital, paparan jumlah potongan terkini, serta ganjaran berbentuk kupon dan kod promosi sebagai insentif kepada pembayar zakat.

“Setakat ini, aplikasi ikhlas.com telah mencatat lebih 150,000 muat turun, dengan kadar pengguna aktif sekitar 50 peratus setiap hari.

"Ramai pengguna juga mengakses aplikasi untuk semak waktu solat, membaca al-Quran, serta menggunakan perkhidmatan lain seperti umrah, ibadah korban, fidyah dan sedekah,” jelasnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram