Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim


  • Bizz
  • Sabtu, 14 Dis 2024

MESKIPUN baru menginjak usia 32 tahun, Ikhlas Kamarudin sudah menggalas tanggungjawab besar untuk menerajui platform gaya hidup mesra muslim iaitu Ikhlas.com.

Sebagai antara salah sebuah anak syarikat di bawah AirAsia, Ikhlas.com yang bermula pada 2019 menyediakan perkhidmatan pelancongan dan umrah.

Bagaimanapun, peringkat awal syarikat tersebut tidak bermula dengan mudah.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Apatah lagi ia mula beroperasi menjelang beberapa minggu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 sehingga menyebabkan rancangannya melancarkan program umrah dan pelancongan Islamik terpaksa ditangguh.

“Jadi, boleh dikatakan syarikat kami lahir semasa Covid-19; lima hari sebelum Ramadan, sewaktu orang sedang bersiap untuk raya tetapi tidak boleh bekerja.

“Ketika Ikhlas.com dilancarkan, hanya ada saya dan empat lagi pekerja. Walaupun cabarannya luar biasa, Alhamdulillah, kami mendapat sokongan padu daripada anak-anak syarikat lain.

"Pada ketika itu, kami masih beroperasi sebagai sebuah jabatan di bawah AirAsia Move. Hanya selepas 2021, barulah kami berdiri sebagai anak syarikat yang berasingan,” katanya.

Interview with CEO Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin for Sukses. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Ikhlas Kamarudin

Berdepan dengan cabaran getir tersebut, ia langsung tidak mematahkan semangat Ikhlas yang kemudiannya memerlukan beliau mencari jalan alternatif bagi memastikan keberlangsungan perniagaan diusahakannya.

“Akibat pandemik, mahu tidak mahu, kami terpaksa gantikan dengan pelan alternatif melibatkan pelancaran platform gaya hidup yang sepatutnya berlaku di fasa kedua. Sebagai permulaan, kami melancarkan program sedekah yang dikenali sebagai Derma Dengan Ikhlas. Alhamdulillah, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami berjaya mengumpul RM1.2 juta.

“Saat rakyat Malaysia diarahkan duduk rumah, saya bersama pasukan diberi pelepasan untuk bergerak ke seluruh Malaysia demi menyampaikan amanah sedekah ini. Bantuan berjaya disampaikan kepada lebih 20,000 keluarga yang terjejas.

“Walaupun hanya RM1, kami tetap menyalurkan nilai sepenuhnya kepada mereka yang memerlukan. Banyak syarikat dan individu malah ada yang bukan Islam, turut mempercayai kami untuk mengagihkan wang sedekah agar sampai kepada penerima yang layak,” katanya.

Jumpa guru ketika umrah

Dibesarkan di Kuala Lumpur dan pernah mendapat pendidikan di sekolah agama, Ikhlas pernah bekerja selama enam bulan di AirAsia sebagai pelatih sebelum melanjutkan pelajaran dalam A-Levels di United Kingdom (UK).

Sekembalinya ke Malaysia, Ikhlas mengikuti kursus intensif selama lapan bulan di sebuah pondok.

Semasa di UK, Ikhlas terdedah kepada kepelbagaian budaya dan cara hidup, yang kemudiannya membuatkan beliau mempersoalkan mengenai arah tuju hidupnya.

Selepas kembali ke Malaysia pada 2011, ibunya mencadangkan agar beliau menunaikan umrah.

Interview with CEO Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin for Sukses. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Ikhlas (dua dari kanan) ketika berada di pejabat Ikhlas.com di Ampang, Kuala Lumpur.

Di sana, Ikhlas bertemu dengan tuan gurunya dan memberikannya peluang untuk berkongsi kegusaran terbuku dalam hati.

Gurunya memberi tiga nasihat. Pertama, cari ilmu agama; kedua, beriktikaf di masjid selama 10 hari; dan ketiga, beliau perlu berkahwin.

Ketika itu, Ikhlas yang baru berusia 19 tahun telah memenuhi kesemua tuntutan itu sebelum kembali berangkat ke UK untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang kewangan antarabangsa, ekonomi dan perniagaan.

“Setelah tamat pengajian, saya bekerja sebagai pelatih dalam pembangunan perniagaan di sebuah syarikat yang telah diambil alih oleh AirAsia selama enam bulan.

"Kemudian, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun mencadangkan agar saya membangunkan satu bahagian gaya hidup yang memfokuskan kepada umrah dan pelancongan Islamik.

"Kata Tan Sri, suprise me. Lalu saya pun menghantar proposal dan akhirnya mendapat kelulusan untuk memulakan projek ini pada 2019,” kongsinya.

Pembangunan aplikasi

Bermula dengan inisiatif sedekah, Ikhlas.com sebagai platform gaya hidup Islamik yang mengamalkan pendekatan holistik kemudiannya melancarkan aplikasi sendiri.

Ringkasnya, semua keperluan asas agama ada di hujung jari.

“Ikhlas.com menawarkan pelbagai produk Islamik seperti al-Quran, waktu solat, arah kiblat, malah ada segmen ‘tanya ustaz’ untuk nasihat berkenaan hukum. Selain itu, perkhidmatan yang ditawarkan pula tidak terhad pada umrah dan pelancongan, kami juga menyediakan saluran untuk bersedekah, membayar zakat dan fidyah, malah tempahan untuk korban serta aqiqah.

"Satu masa dulu kami pernah menawarkan e-dagang, tetapi ditangguhkan buat sementara waktu kerana kekangan sumber. Insya-ALLAH, ia akan diusahakan semula pada masa akan datang,” katanya.

Ikhlas.com berdiri di atas lima prinsip utama. Menurut Ikhlas, dua daripadanya berpaksi pada aspek komersial yang mana harga yang berpatutan amat dititikberatkan.

Sebagai contoh, untuk korban dan umrah, Ikhlas.com menawarkan antara harga terendah di pasaran.

Selain itu, Ikhlas.com juga memberi kemudahan kepada pengguna untuk memeriksa rekod sedekah sendiri di samping berupaya mengesan ke mana wang mereka disalurkan.

“Tiga lagi prinsip lebih menekankan kepada amal jariah yang merangkumi komuniti, sokongan dan pendidikan. Kami berhasrat untuk memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat, membantu golongan asnaf serta mendekatkan dakwah dan pembelajaran dalam usaha memberi pemahaman mudah kepada semua mengenai konsep Islam sebagai gaya hidup,” katanya.

Interview with CEO Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin for Sukses. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Antara pekerja yang bertugas di Ikhlas.com.

Menjelang 2022, apabila industri pelancongan global kembali dibuka dan penerbangan beroperasi semula, Ikhlas.com kembali kepada perancangan asal mereka iaitu perkhidmatan umrah dan pelancongan Islamik.

“Apabila dua tahun pertama, kerja-kerja amal telah membuatkan imej kami lebih terarah sebagai sebuah NGO, kini kami kembali mengukuhkan aspek penjenamaan dengan melancarkan pelbagai kempen bagi menonjolkan konsep asal syarikat iaitu platform gaya hidup Islamik, umrah dan pelancongan," jelasnya.

Platform untuk semua

Hasil usaha dan kesabaran Ikhlas.com mula membuahkan hasil pada pertengahan 2022.

Bermula dari Februari dan Mac, syarikatnya berjaya menghantar dua kumpulan pertama untuk menunaikan umrah.

Berita mengenai keputusan AirAsia membuka semula laluan ke Jeddah turut memberi impak positif kepadanya.

“Permintaan yang meningkat secara drastik menyebabkan kami terpaksa menggandakan tenaga kerja. Pasukan Ikhlas.com hari ini, memiliki lebih 100 pekerja yang terdiri daripada individu-individu dengan skil serta latar belakang yang pelbagai, termasuk bukan beragama Islam. Ada yang berasal dari industri umrah dan haji, telekomunikasi, penerbangan, F&B, pelancongan serba banyak lagi.

“Ikhlas.com kini berada di landasan yang sepatutnya, segalanya lebih lancar dan konsisten, menjamin kelangsungan jenama dalam jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pasaran semasa, setiap modul perniagaan mempunyai peneraju tersendiri.

Bagi Ikhlas, beliau melihat keunikan platformnya yang menekankan sifat toleransi sesuai dengan penjenamaan produk gaya hidup yang mesra Muslim.

“Kami mahu mendekati semua golongan. Sesuai buat mereka yang ingin mendalami agama, mendekatkan diri dengan ALLAH SWT, malah kami amat mengalu-alukan bukan Islam untuk memahami sendiri apa itu Islam melalui aplikasi kami.

"Ada bukan Islam yang memilih untuk makan makanan halal dan ada juga yang lebih selesa menggunakan perkhidmatan kewangan Islam,” ujarnya/

Pada waktu ini, sekitar 20 hingga 30 peratus pengguna aplikasi Ikhlas.com adalah warga asing yang memuat turun aplikasi dan melakukan transaksi.

Ikhlas berhasrat untuk mengembangkan prospek platformnya dengan menyasarkan negara-negara di Asia Tenggara terlebih dahulu.

Namun buat masa ini, beliau ingin tumpuan khusus diberikan kepada pasaran tempatan dengan merancang strategi yang lebih agresif sebelum menerokai pasaran luar.

“Walaupun begitu, kami sudah beberapa kali menjalankan projek di luar negara seperti Singapura, terutamanya di Indonesia. Ikhlas.com semakin kukuh di pasaran seberang yang mempunyai lebih daripada 250 juta penduduk Islam. Kami juga pernah bekerjasama dengan ustaz terkenal seperti Ustaz Abdul Somad dan Ustaz Dasad Latif, seiring dengan peningkatan bilangan klien di Indonesia,” kongsinya.

Pada masa sama, Ikhlas tidak menolak kemungkinan supaya perkhidmatannya melangkaui Asia Tenggara.

“Siapa tahu? Mungkin kami akan meneroka pasaran di India, Pakistan, malah China suatu hari nanti,” katanya.

Ikhlas turut disoal mengenai sasarannya khususnya dalam meneroka pasaran digital global.

“Demografi pasaran Ikhlas.com sangat pelbagai, merangkumi warga emas, golongan pertengahan usia, dan generasi muda. Setiap kumpulan ini diberi pendekatan yang berbeza.

"Mengenai kos, jangan dipersoalkan kerana ini adalah tentang dakwah – jadi ada keberkatannya. Kami menyantuni setiap golongan sasaran dengan cara yang berbeza-beza.”

“Mengapa kami lakukan semua ini? Lebih daripada sekadar perniagaan, kami mahu mengubah persepsi dunia mengenai Islam dan membantu orang untuk menjadi individu yang lebih baik.

"Itulah misi kami. Dan dalam dekad akan datang, saya berhasrat untuk mengembangkan platform ini menjadi sebuah organisasi yang memberi impak besar kepada ekonomi Islam. Kami mahu mencipta ekonomi yang membolehkan golongan asnaf bangkit, kembali berdiri sendiri dan berdikari," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram