MEMILIH pendekatan lebih santai, kemesraan penyanyi terkenal, Siti Nordiana dan anak tunggal lelakinya sering mencuti hati.
Meskipun sibuk dengan karier sebagai penyanyi dan pelakin, pemilik nama sebenar Siti Nordiana Alias, 40, tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab merangkap ibu dan bapa kepada anaknya Muhammad Rayyan Nakhaie (Rayyan).
Pelantun lagu Angkara itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa mencipta hubungan yang rapat persis sahabat bersama permata hati beliau kini menginjak usia 17 bukanlah perkara mudah.
BACA LAGI: Hampir banyak persamaan, ketahui simbolik di sebalik hidangan berpantang 3 budaya masyarakat Asia

Hubungan erat antara Nana dan dan Rayyan sehingga dianggap seperti 'kawan'. — Instagram/Muhammad Rayyan
Bagi Siti Nordiana mesra disapa Nana membina hubungan dengan anak remaja memerlukan pendekatan lebih lembut dan kefahaman terhadap emosi anak.
"Nak kekalkan hubungan macam kawan ini tak mudah, tambahan pula sebagai ibu perlu tegas terutamanya apabila anak buat kesilapan. Pun begitu, saya perhatikan dahulu emosi Rayyan sebelum menegurnya.
"Kalau boleh jangan terus tegur atau judge. Lebih baik berborak santai seperti mana kita berkomunikasi dengan kawan," katanya kepada Majoriti.
Beliau ditemui selepas menghiburkan para pengunjung yang hadir memeriahkan acara Jelajah Sawit Hijau Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) Siri 3 di Paradigm Mall, Johor Bahru pada Sabtu lalu.
Pelakon Dia Semanis Honey itu turut menjelaskan bahawa pendekatan bergurau dan berbual santai secara tidak langsung membantu mengurangkan rasa takut anak untuk berkongsi cerita atau meluahkan perasaan tanpa rasa dihakimi.
"Saya nak dia rasa selamat untuk cerita apa sahaja. Kalau buat salah pun, saya berbual dahulu.
"Saya tak mahu dia rasa lebih selesa bercerita dengan orang lain berbanding ibu sendiri," jelasnya.

Nana tidak lupa menjalankan tanggungjawab sebagai ibu meskipun sibuk menguruskan kerjaya.
Untuk rekod Rayyan merupakan anak hasil perkahwinan Nana dengan pelakon, Allahyarham Faizal Yusof pada April 2006, namun, terlerai pada 2009.
Walaupun membesar tanpa didampingi sosok seorang bapa susulan Faizal meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2011, Rayyan tetap menjalani kehidupan dengan tabah.
Melihat situasi itu, Nana menyifatkan anaknya itu bijak menyesuaikan diri dan menjadi lebih berdikari.
"Dia tahu tiada bapa sejak kecil, jadi sangat senang membawa diri.
"Tambahan pula dalam keluarga kami ramai saudara termasuk anak buah lelaki, jadi Rayyan tak rasa tersisih atau terpinggir. Kalau nak bercerita topik lelaki, dia akan cari bapa saudara," tambahnya.
Bercerita lanjut tentang masa depan Rayyan, Nana berkata, minat anaknya masih belum dapat dikenalpasti secara spesifik.
Menurutnya, Rayyan menunjukkan minat dan bakat dalam bidang kejuruteraan termasuk seni muzik.
Justeru, beliau berhasrat untuk mengasah bakat Rayyan melalui pendidikan selari dengan kebolehannya.
"Sekarang Rayyan sedang duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan masih belum buat keputusan pilih bidang apa untuk lanjutkan pengajian.
"Bagaimanapun, saya tetap akan asah kemahiran dimiliki Rayyan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
