SELAIN memikul peranan sebagai pendidik, tugas seorang cikgu ketika berada di sekolah merangkumi pelbagai aspek, termasuk memastikan keselamatan anak murid.
Meskipun itu bukanlah kewajipan hakiki, mereka perlu kekal bersedia untuk memberikan bantuan kepada pelajar yang mungkin berdepan detik cemas.
Situasi tersebut dihadapi guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9 dekat Beluran, Sabah selepas seorang murid prasekolah menghadai sesak nafas.
BACA LAGI: [VIDEO] Jangan tunggu tragedi baru nak belajar, setiap keluarga perlu ada seorang tahu buat CPR
BACA LAGI: Enggan tragedi menimpa ayah sebelum Zuhur berulang, Azizul nekad buka akademi tawar latihan CPR, AED
Detik cemas itu dikongsikan salah seorang guru menerusi Facebook Loren Fren yang menceritakan bagaimana pelajar berkenaan dapat diselamatkan hasil tindakan pantas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).
"Awal pagi tadi, seorang murid prasekolah kami tiba-tiba pengsan dan tidak bernafas, badan sudah mulai biru dan mulut kaku tidak boleh dibuka.
"Mujur Penolong Kanan HEM kami bertindak cepat dengan segera melakukan CPR (resusitasi kardiopulmonari), tekanan keempat dan kelima, murid mulai bernafas," tulisnya.
Jelas guru berkenaan, murid terbabit hanya dapat berdiri beberapa minit selepas sedar sebelum menyatakan pandangannya pudar sebelum kejadian.
Bantuan diberikan guru di sekolah berkenaan tidak terhenti di situ apabila mereka turut membawa murid terbabit ke klinik seperti mana dicadangkan pegawai kesihatan di klinik kesihatan berhampiran.

Bantuan CPR boleh menyelamatkan individu yang mengalami sesak nafas. — Agensi
Pemilik akaun itu turut menceritakan pengajaran di sebalik insiden berkenaan dengan menyatakan seseorang tidak perlu gusar untuk melakukan CPR kerana bantuan itu boleh menyelamatkan nyawa seseorang.
"Saya berharap semua guru diberi kursus CPR setiap tahun agar kemahiran ini boleh kami gunakan pada bila-bila masa. Dalam apa-apa jua situasi, bertenanglah agar kita dapat bertindak dengan waras.
"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada warga sekolah yang berjaya menangani situasi dengan baik terutama pembantu dan guru prasekolah," katanya.
Kursus untuk melakukan bantuan CPR sering dianjurkan pelbagai organisasi kesihatan bertujuan memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan asas dalam membantu orang yang berada dalam kesusahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
