Tak kisah kena 'posting' jauh, suami isteri bergelar guru dedah cabaran mengajar di pedalaman


  • Cinta
  • Ahad, 16 Nov 2025

Bagi pasangan pendidik Muhammad Syauqi dan isterinya, pilihan ini bukan sekadar kerjaya, tetapi juga perjalanan hidup yang membentuk mereka melalui susah dan senang bersama.

BUKAN semua orang sanggup meninggalkan keselesaan bandar untuk bertugas di pedalaman. 

Tetapi bagi pasangan pendidik, Muhammad Syauqi dan isterinya, pilihan itu bukan sekadar kerjaya, malah perjalanan hidup yang membentuk mereka melalui susah senang bersama.

Dalam hantaran di Facebook, Syauqi berkongsi kisahnya agar dapat menjadi iktibar para pendidik di luar sana. 

BACA LAGI: Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya

BACA LAGI: Suami mohon bantuan sunting gambar bersama arwah isteri, jadi kenangan manis untuk anak yang baru setahun kehilangan ibu

 

Di Temenggor, Perak, tiada bangunan tinggi atau kondominium mewah, hanya rumah buluh menghiasi pemandangan.

Katanya, dia sudah 11 tahun 7 bulan mengajar di pedalaman, manakala isterinya 10 tahun lebih memulakan kerjaya masing-masing di pedalaman Sarawak sebelum kini berkhidmat di sebuah sekolah pedalaman di Perak. 

Bagi mereka, penempatan jauh dari bandar bukan alasan untuk menolak tanggungjawab, sebaliknya peluang untuk memaknai peranan seorang pendidik.

Syauqi berkata, kehidupan di pedalaman menuntut ketahanan mental dan fizikal.

"Aku pernah merasa nak ke klinik terdekat sekitar dua jam perjalanan, nak ke bandar membeli stok barang sekitar empat jam. Itu kira okay, ada sekolah yang berbelas jam nak ke bandar, dua atau tiga bulan baru keluar sebab jauh," katanya. 

Namun, apa juga cabaran yang datang, mereka menanganinya sebagai satu pasukan. 

“Awalnya memang mencabar, tetapi lama-kelamaan kami belajar menyesuaikan diri. Bila segalanya ditempuhi bersama, kami semakin menghargai pengalaman itu,” tulis Syauqi.

Syauqi turut berkongsi pengalamannya menempuh jalan balak, menaiki bot merentasi tasik, menyusuri sungai dengan perahu, malah terpaksa bermalam di hutan apabila kenderaan tersangkut.

“Aku pernah jalan kaki dalam hutan pada waktu malam dan tidur di situ bila kereta tersangkut. Bukan untuk menakut-nakutkan, tapi itulah realiti mengajar di pedalaman,” katanya.

Pengalaman bermalam di Kampung Tersau, sebuah perkampungan masyarakat Orang Asal suku Temiar dan Jahai di kawasan Tasik Temenggor.

Katanya, dia dan keluarganya juga pernah bermalam di rumah panjang Orang Ulu dan tinggal bersama masyarakat Orang Asli iaitu pengalaman yang banyak mengajar mereka tentang kesyukuran.

"Pada waktu malam, generator hanya berfungsi dari pukul 6 petang hingga 8 malam dan selepas itu, kegelapan hanya diterangi oleh lampu suluh," katanya.

Baginya, pedalaman bukan hanya tentang kesukaran. Ia turut menawarkan keindahan alam yang jarang dinikmati masyarakat bandar iaitu air sungai yang jernih, udara segar dan hubungan erat dengan komuniti setempat. 

Pada waktu petang, anak-anak di pedalaman menikmati waktu santai dengan 'healing' di sungai, bukannya di taman.

Malah, mereka sering menerima layanan istimewa pada penduduk kampung di setiap majlis keramaian.

"Anak-anak murid dan orang kampung sangat menghormati guru. Aku pernah dapat ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan percuma. Bila pergi kenduri kahwin anak-anak murid, dilayan macam VIP.

"Mereka hidangkan makanan, bagi tempat istimewa untuk kau. Padahal, kau tak minta pun dilayan sebegitu. Tetapi, sebab sanjungnya mereka pada guru, mereka berikan layanan yang luar biasa," katanya. 

Memandang sekarang musim penempatan guru baharu, Syauqi sempat menitipkan pesanan. 

“Jangan panik jika ditempatkan di pedalaman. Pergi dahulu, rasai pengalamannya. Kadang-kadang, tempat yang kita tidak pernah bayangkan itulah yang memberi makna besar dalam hidup," katanya. 

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada guru-guru lain. 

Alang Eppy, yang kini hampir sedekad mengajar di pedalaman Sabah, mengakui pada awalnya turut berasa sukar sebelum akhirnya jatuh cinta dengan suasana tersebut. 

"Saya pun di pedalaman. Posting pertama di bandar Bintulu selama dua tahun. Kemudian pindah ikut suami masuk pedalaman Sabah. Mula-mula rasa sukar tetapi lama-lama jatuh cinta. Tahun depan genap sedekad di pedalaman," katanya. 

Seorang pengguna lain, Masila Ali pula menzahirkan penghargaan kepada Syauqi atas bakti yang dicurahkan kepada anak-anak Sarawak. 

"Saya anak jati orang Sarawak pun tak pernah merasa apa yg pernah cikgu alami. Terima kasih atas perkhidmatan cikgu untuk anak bumi kenyalang Sarawak. Jasa cikgu akan dikenang sampai bila-bila. Insya-ALLAH," katanya. 

Manakala, Khalijah Yusof menegaskan bahawa pengalaman seperti itu sangat berharga dan mematangkan.

"Pengalaman itu mahal. Lagi banyak pengalaman lagi banyak benda boleh ditulis dan diceritakan kepada generasi akan datang. Ia juga membentuk cara berfikir serta mematangkan kita untuk bertindak," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram