Enggan tragedi menimpa ayah sebelum Zuhur berulang, Azizul nekad buka akademi tawar latihan CPR, AED


  • 112
  • Ahad, 15 Sep 2024

Azizul menawarkan khidmat modul latihan CPR dan penggunaan AED melalui Akademi Dr Azizul Amar pada orang awam.

SEGALANYA bermula pada 14 tahun lalu, kejadian pada 1 Januari 2009 di Masjid Ar-Rahman Kuala Lumpur masih terbayang dalam ingatan Azizul Amar Rahmat sehingga kini.

Pada tanggal itu, dia kehilangan bapa tercinta akibat serangan jantung.

Mengimbau semula detik memilukan tersebut, jurulatih pertolongan cemas dan bantuan kecemasan pemulihan kardiopulmonari pernafasan (CPR) bertauliah itu bercerita, arwah ayahnya ketika itu ingin menunaikan solat Zuhur sebelum badannya tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

"Walaupun ada ramai jemaah di sana, tapi sayang tiada sesiapa yang tahu tindakan betul yang seharusnya dilakukan.

"Mereka kemudian menghubungi ambulans dan bawa bapa ke hospital, namun sesampainya di hospital, ayah saya disahkan meninggal dunia," katanya kepada Majoriti.

458317068_18336047473126437_3041392530517822901_n

Azizul Amar Rahmat

Enggan kejadian sama berulang kepada individu lain, jurulatih berusia 41 tahun itu lantas berikrar untuk berkongsi ilmu kaedah CPR kepada seramai mungkin masyarakat, sebagai persediaan sekiranya mereka berdepan situasi sama dengan arwah ayahandanya.

Melalui Akademi Dr Azizul Amar yang ditubuhkan pada 2009, bapa kepada dua cahaya mata itu telah menawarkan khidmat modul latihan mematuhi piawaian terkini dalam teknik bantuan kecemasan.

"CPR dibangunkan berdasarkan garis panduan antarabangsa yang diiktiraf, seperti yang dikeluarkan oleh American Heart Association (AHA).

"Pada masa sama, saya juga melatih orang awam dan syarikat untuk menggunakan peranti perubatan mudah alih defibrilator luaran automatik (AED) untuk membantu individu yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.

"Selain itu, kursus kami juga disesuaikan dengan keperluan tempatan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), bagi memastikan ia relevan dengan peraturan dan keperluan Malaysia," ujarnya sambil menambah akademi tersebut beroperasi di Shah Alam, Selangor.

WhatsApp Image 2024-09-13 at 23.30.50_2aeeb412

Hanya tinggal memori: Azizul (kiri) bersama arwah bapanya pada 2008.

Tambah beliau lagi, khidmat modul latihan itu adalah seiring dengan matlamat akademi tersebut iaitu 1 Rumah: 1 Terlatih CPR.

"Setiap rumah perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang yang terlatih CPR. Peserta yang mendaftar dalam kursus CPR dan AED di akademi kami juga datang daripada pelbagai latar belakang.

"Ini termasuk golongan profesional perubatan seperti doktor dan jururawat, golongan pekerja industri seperti pekerja kilang dan pembinaan, staf pejabat, serta mereka yang terlibat dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Selain itu, kursus ini juga menarik minat individu yang ingin meningkatkan kemahiran bantuan kecemasan untuk kegunaan peribadi, seperti suri rumah, guru dan ibu bapa," katanya.

459118197_18337355656126437_8657375171899195189_n

Azizul (berdiri) ketika mengajar peserta latihan CPR baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Azizul berkata, bagi memastikan latihan CPR dan AED yang diberikan adalah relevan dengan situasi kecemasan sebenar, pihaknya menggunakan kaedah simulasi situasi kecemasan dalam latihan.

"Melalui kaedah tersebut membolehkan peserta mengalami senario yang lebih realistik dan mempraktikkan reaksi mereka dalam persekitaran yang terkawal.

"Menerusi latihan praktikal yang interaktif ini juga, peserta dapat membina keyakinan untuk bertindak dengan pantas dan tepat ketika menghadapi situasi kecemasan sebenar.

"Selain itu, kami amat mementingkan outcome peserta yang menghadiri kursus kami dan menitik beratkan tanggungjawab mereka selepas habis latihan dan bukannya sekadar menghadiri latihan untuk mendapat sijil.

"Pada masa sama, kami amat menekankan penyesuaian latihan mengikut keperluan khusus peserta. Ini termasuk menyediakan kursus yang disesuaikan untuk pelbagai industri dan golongan seperti pekerja industri, guru, dan ibu bapa, bagi memastikan mereka mendapat kemahiran yang paling relevan untuk situasi mereka," katanya.

456112888_18334586158126437_7792499666849224198_n

Azizul mencipta dummy khas yang dikenali sebagai Little Aqil, direka untuk menyerupai situasi sebenar dalam latihan CPR.

Tambah Azizul lagi, akademi tersebut turut aktif terlibat dalam penyelidikan dan inovasi untuk meningkatkan keberkesanan latihan CPR dan penggunaan AED.

"Di Akademi Dr Azizul Amar, kami telah mencipta dummy khas yang dikenali sebagai Little Aqil, direka untuk menyerupai situasi sebenar dalam latihan CPR.

"Little Aqil membantu peserta merasa lebih selesa dan yakin ketika melakukan latihan.

"Peserta dalam talian kini akan mampu belajar dengan lebuh efektif kerana mereka juga dapat membuat praktikal pada Little Aqil ini dan bukan sekadar belajar secara teori sahaja.

"Dengan adanya inovasi seperti Little Aqil dan penyelidikan berterusan, kami yakin akademi ini dapat terus berkembang dan memberi impak yang lebih besar dalam meningkatkan kesedaran dan kemahiran CPR serta penggunaan AED dalam masyarakat," katanya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram