Cikgu E meninggal dunia, sumber inspirasi ramai dan cekal berlari bersama isteri walau berjuang kanser tahap 4


  • Cinta
  • Selasa, 11 Nov 2025

Insan yang sentiasa dikenali dengan senyuman dan semangat juangnya, Cikgu E disahkan meninggal dunia pada Selasa. 

INSAN yang sentiasa dikenali dengan senyuman dan semangat juangnya, Cikgu E atau nama sebenarnya Nassry Mardee Ismail disahkan meninggal dunia pada Selasa. 

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anaknya menerusi hantaran di Facebook, yang memaklumkan bahawa bapanya telah menghembuskan nafas terakhir selepas bertahun-tahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap empat.

“Moga ALLAH ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematiannya, lapangkan kuburnya, dan jadikanlah syurga sebagai tempat tinggalnya. Berilah juga kesabaran kepada ahli keluarga yang ditinggalkan,” tulis anaknya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

BACA LAGI: Dari bilik darjah ke dunia bisnes, bekas guru sekolah di Ipoh kembangkan bakat bina perniagaan kamera dan gajet

Anaknya turut memaklumkan bahawa Allahyarham bapanya akan dikafankan dan disolatkan di Masjid Al-Ansar, Meru pada pukul 7.30 petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya.

Sebelum pemergiannya, Allahyarham sempat menjalani rawatan Dual Immunotherapy, namun akhirnya rebah selepas perjuangan panjang yang penuh ketabahan.

Walaupun hanya 30 peratus fungsi saluran pernafasan yang masih berfungsi, Allahyarham tetap tabah dan tidak pernah berhenti tersenyum. 

Sikap positifnya menjadikan beliau sumber inspirasi ramai, terutama mereka yang turut berdepan dengan ujian penyakit.

Allahyarham juga terkenal sebagai individu aktif dan ceria, sering menyertai acara larian bersama isterinya, Azlina Mohd Ali. 

Dalam beberapa perkongsian sebelum ini, beliau pernah menyatakan rasa syukur kerana isterinya sentiasa berada di sisi menjadi kekuatan utama dalam perjuangan menentang penyakit itu.  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram