Bukan hanya cipta asas sokongan kukuh, inisiatif Rafizi buka Fleximart, Kesum bukti cekap guna pengaruh


  • Massa
  • Rabu, 12 Nov 2025

Pembukaan Fleximart oleh Rafizi menerima respons baik dengan orang ramai mengharapkan lebih banyak kedai sebegitu diperkenalkan.

INISIATIF pembukaan Fleximart dan Kesum diperkenalkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menawarkan produk jauh lebih murah berbanding harga pasaran menerima respons baik daripada orang ramai.

Pandangan positif itu diberikan kerana ramai mula menikmati produk seperti nasi lemak dan makanan lain yang dijual serendah RM5 dengan kadar ditetapkan tersebut memudahkan pengguna.

Meskipun baru sahaja kira-kira dua minggu diperkenalkan, kedua-dua kedai tersebut sudah mula mendapat perhatian menggalakkan sejajar dengan sasaran Rafizi.

BACA LAGI: Inisiatif Syed Saddiq, Rafizi bukti usaha demi kumpul dana tanpa perlu jawatan Exco, menteri

BACA LAGI: Bisnes restoran, hartanah dan pelaburan lonjak nama 7 pelakon berstatus terkaya di dunia

Kesum menawarkan makanan lengkap serendah harga RM5. Facebook/Ustaz Lariba

Bagaimanapun, impak daripada pembukaan Fleximart dan Kesum bukan hanya memberi kesan dari segi ekonomi, malah turut membawa kesan besar terhadap reputasinya di kawasan Parlimen berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan menerusi akaun Facebook Niv AR yang berpandangan pengenalan kedua-dua jenama tersebut akan menarik sokongan pengundi di Pandan.

"Perkara tersebut kalau kita lihat, ia seperti satu strategi selain dari menyelesaikan masalah trafik, masalah sampah dan masalah-masalah yang dihadapi penduduk.

"Strategi yang melihat kepada poket rakyat yang semakin menipis, jadi kita nak jaga rakyat adalah dengan menjaga poket mereka," tulisnya.

Jelas pengguna Facebook itu lagi, inisiatif diperkenalkan tersebut juga selari dengan konsep keusahawanan sosial atau 'social enterprise' yang dilaungkan bekas Menteri Ekonomi itu sebelum ini.

Ini kerana Rafizi pernah menegaskan Fleximart dan Kesum diperkenalkan tanpa meletakkan keuntungan sebagai fokus utama, namun lebih kepada pembangunan ekonomi masyarakat.

"Perkara ini sepatutnya boleh diguna pakai di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli politik yang dipilih. Ini kira seperti inisiatif YB (Yang Berhormat) tu sendiri, tapi modal pun bukannya dikeluarkan 100 peratus.

"Ya lah, 'social enterprise' bukan? Sepatutnya orang yang menjaga sistem sosial masyarakat yang kena mulakan kerana mereka yang ada kuasa dan pangkat boleh menggerakkannya," katanya lagi.

Konsep keusahawanan sosial bukanlah perkara baharu kerana model perniagaan sedemikian sudah diterapkan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mementingkan keuntungan.

Bagaimanapun, sekiranya diguna pakai pihak bertanggungjawab, ini sekali gus membuka ruang buat penduduk setempat untuk meraih manfaat daripada insiatif seperti mana diambil Rafizi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram