Banyak perniagaan tutup di Bangi, ada yang cadang MAIS buat wakaf tunai


  • Bisnes
  • Sabtu, 08 Nov 2025

Sebahagian peniaga yang menjalankan bisnes di Bangi ketika berdepan tekanan kos operasi yang meningkat serta kadar sewa premis yang makin tinggi. — Gambar hiasan/Janaan Ai

ASAM garam dalam dunia perniagaan sememangnya penuh dengan cabarannya tersendiri. 

Namun, bagi sebahagian peniaga dan usahawan yang menjalankan bisnes di Bangi, Selangor ketika ini, dugaan semakin berat apabila mereka berdepan tekanan kos operasi yang meningkat serta kadar sewa premis yang makin tinggi.

Perkara itu menjadi perhatian ramai selepas satu hantaran tular di laman Facebook Pekan Bangi yang berkongsi gambar beberapa premis perniagaan di sekitar Bandar Seri Putra, Bangi terpaksa ditutup.

Keadaan menyedihkan itu dipercayai akibat jumlah pengunjung yang berkurangan serta tekanan kos yang tinggi.

BACA LAGI : Raih untung menerusi iklan scam judi online, Meta boleh diambil tindakan — MCMC

BACA LAGI : UPSR perlu dikembalikan, nilai prestasi pelajar secara menyeluruh selaras AI — Mahdzir Khalid

"Saya perasan dalam sebulan ini banyak premis perniagaan di Bandar Seri Putra telah tutup. Mungkin disebabkan jumlah pengunjung (foot traffic) yang kurang berbanding jangkaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua peniaga yang pernah membuka perniagaan di sini, semoga ada sinar di tempat lain," tulisnya pada Khamis. 

Perkongsian itu diulang siar Facebook Jom Lokal yang menzahirkan rasa simpati terhadap nasib peniaga yang kini dilihat semakin ‘tenat’ pada Sabtu. 

Pengendali halaman itu menganjur perbincangan maya sama ada keadaan ekonomi kini berada dalam fasa tidak stabil, selepas ramai peniaga dilihat bergelut untuk bertahan.

"Ramai peniaga tenat sekarang. Ramai dalam fasa bertahan. Adakah ekonomi sedang tidak baik sekarang?

"Cadangan saya, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh membuat wakaf tunai. 

"Apaila bangunan dimiliki wakaf, sewa boleh dikurangkan dan peniaga berpeluang bertahan lebih lama," tulisnya.

Pentadbir laman Facebook Jom Lokal itu turut mencadangkan agar MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan institusi zakat memperluas peranan mereka dengan memanfaatkan sumber kekayaan umat Islam melalui skim wakaf tunai untuk membantu sektor perniagaan kecil.

Cadangan itu mendapat perhatian warganet lain yang memberi reaksi positif dengan penubuhan bangunan wakaf komersial mampu membantu menstabilkan kadar sewa. 

Ini kerana, ia dilihat mampu membantu memberi peluang kepada lebih ramai peniaga kecil untuk terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Seorang warga maya, Syafiq Yasin menyifatkan kos sewa yang tinggi tidak sepadan dengan jumlah pelanggan yang hadir.

"Sewa tinggi tak kena dengan traffic potential customer yang tak ramai. Itu yang menyebabkan penyewa tak mampu bayar sewa," katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Salmiah Amirudin pula menyambut baik cadangan wakaf tunai. 

"Menarik idea wakaf tunai ini. Boleh membantu peniaga yang betul-betul terkesan," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram