[VIDEO] Angkara 5 bintang ‘Google Reviews’, tauke kedai jala pelik pelanggan asyik tak jadi ‘singgah’


  • Massa
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Pemilik kedai tersebut beranggapan kekeliruan itu berpunca daripada usikan sesetengah pengunjung lain.

ULASAN atau reviu ditinggalkan di Internet sering dijadikan panduan untuk orang ramai, terutamanya pelancong dalam memilih destinasi yang ingin dituju.

Ini termasuk dalam memilih kedai makan kerana pengalaman dikongsikan pengunjung terdahulu dapat memberi gambaran awal mengenai sesebuah premis.

Bagaimanapun, kadangkala terdapat kemungkinan reviu ditinggalkan tidak menceritakan suasana sebenar sesebuah kedai sehingga pada akhirnya hanya meninggalkan kenangan mengecewakan.

BACA LAGI: Ramai berteka-teki, peniaga dedah ‘influencer’ minta bayaran lebih RM3,000 reviu nasi goreng tepi jalan

BACA LAGI: Pengusaha hotel di Melaka syak ada kegiatan reviu palsu semata-mata mahu naikkan taraf bintang

Itulah perkara dialami segelintir pengunjung dengan perkongsian di laman sesawang apabila beranggapan sebuah kedai menjual jala ikan di Parit Buntar, Perak menawarkan roti jala.

Hal tersebut disuarakan pemilik kedai terbabit yang menyedari terdapat kenderaan akan berhenti di hadapan premisnya, namun tidak turun selepas menyedari perniagaan dijalankan.

"Ada yang sudah parkir, jalan masuk ke dalam kedai tetapi tiba-tiba berpatah balik dan masuk semula ke dalam kereta sebelum bergerak meninggalkan kedai. Kenapa jadi begitu?" katanya.

Pemilik kedai itu turut menjelaskan premisnya tidak menjual roti jala seperti mana dianggap sesetengah pengunjung yang mahu menikmati juadah terbabit.

Lelaki tersebut sempat meminta maaf atas kekeliruan itu dengan menyatakan salah faham tersebut berpunca daripada ulasan pengguna yang hanya membuat usikan dan gurauan.

Sesetengah pengunjung beranggapan kedai alatan memancing itu menyediakan roti jala.

Semakan di pelbagai laman sesawang, termasuk di akaun TikTok kedai tersebut mendapati terdapat beberapa ulasan ditinggalkan menjelaskan kedai berkenaan menjual roti jala dengan tujuan mengusik pengunjung lain, selain ulasan lima bintang di Google Reviews.

"Makanan sedap, servis laju tetapi saya tidak syorkan untuk pelanggan yang lain untuk minta sup tulang dan tidak mahu isi," gurau Bendi Goreng.

"Pengalaman yang amat menggembirakan dan memuaskan. Roti jala dan cucur udangnya amat sedap, lembut dan lemak manis," seloroh Ijai Rizal Jai.

"Perut lapar mahu makan. Berhenti di kedai ini, tengok ada tulis jala. Fikirkan roti jala, rupanya jala ikan. Aku pun terperangkap kena jala," jelas Official Wan.

Meskipun perkara tersebut mencuit hati sesetengah pihak, kekeliruan dicetuskan ulasan dan reviu pengguna lain boleh menyebabkan pengunjung sanggup menempuhi perjalanan jauh bagi menjamah menu tular.

Diharapkan penjelasan pemilik kedai tersebut serta perkongsian akan produk ditawarkannya tidak lagi mengelirukan mana-mana pihak, terutamanya peminat hidangan roti jala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram