[VIDEO] Ramai rupanya tak tahu, memancing bawah jambatan pun kena pakai jaket keselamatan


  • Tular
  • Rabu, 29 Okt 2025

Tangkap layar sekumpulan pemancing itegur ditegur Maritim Malaysia selepas didapati tidak memakai jaket keselamatan ketika memancing di bawah sebuah jambatan.

BAGI mengelakkan situasi 'sudah terhantuk baru tengadah' berlaku, kaki pancing dinasihatkan memakai jaket keselamatan apabila memancing di kawasan bawah jambatan atau berhampiran perairan.

Tular satu video laman Facebook menunjukkan sekumpulan kaki pancing ditegur oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati tidak memakai jaket keselamatan ketika memancing di bawah sebuah jambatan.

Rakaman dimuat naik oleh akaun Video Viral itu memperlihatkan anggota Maritim menegur dengan nada tegas namun berhemah, menasihatkan para pemancing supaya segera memakai jaket keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

BACA LAGI: Serang Maritim dengan parang, 5 warga asing ditembak di Tanjung Rhu

BACA LAGI: Enam anggota Maritim Malaysia terlibat kes tembakan warga Indonesia direhatkan — Saifuddin Nasution

"Pakai lah life jacket tu, hampa tak pakai life jacket ke? Kena pakai life jacket lah. Cepat-cepat pakai, kalau tak boleh pergi dari situ. 

"Kami bukan tak bagi kamu memancing, tapi keselamatan itu penting. Lagi setengah jam kami datang balik, kalau tak pakai, kami bawa balik lah," tegur anggota Maritim dalam video tersebut.

Insiden itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet, apabila ramai mengakui baru mengetahui bahawa peraturan memakai jaket keselamatan turut terpakai untuk aktiviti memancing di bawah jambatan atau di kawasan berbatu berhampiran laut.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial menyokong tindakan Maritim Malaysia yang menjalankan tugas dengan penuh berhemah sambil mendidik masyarakat tentang aspek keselamatan di perairan. 

"Yang mancing atas bot pun liat nak pakai life jacket, inikan pula atas tembok. Berlagak nyawa ada sembilan. Bila ditegur pandai pula jawab 'dah nak jadi asbab mati macam itu nak buat macam mana, atas darat pun boleh mati'," kata warganet, Jason King. 

"Pakailah life jacket kalau nak pergi memancing. Atas bot ke atau atas tembok, atas batu tapak jambatan, kena pakai. Kalau jatuh laut, life jacket tu lah yang boleh selamatkan diri kalau tak reti berenang," komen pengguna Facebook, Asrul Jamaludin. 

"Dua atau tiga tahun lepas dah ada kes pemancing pitam dekat tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB), jatuh dalam laut meninggal, sebab life jacket tak pakai. Dua hari baru jumpa," kongsi seorang lagi pengguna, Zainal Cakpeng. 

Maritim Malaysia dalam kenyataannya sebelum ini menggesa semua pihak memastikan keselamatan diri dengan memakai jaket keselamatan semasa belayar, memancing atau sebarang kegiatan yang melibatkan pergerakan di laut.

Selain jaket keselamatan, orang awam yang melakukan aktiviti di laut juga dinasihatkan untuk membawa bersama alat Personal Locator Beacon kerana ia dapat membantu dan mempercepatkan bantuan carilamat di laut apabila berlaku kecemasan.

Pemakaian jaket keselamatan digalakkan ketika melakukan aktiviti berhampiran air, termasuk memancing di bawah jambatan atau di kawasan berbatu.

Langkah itu penting bagi mengurangkan risiko lemas terutama dalam keadaan arus kuat, angin kencang dan faktor cuaca tidak menentu yang sering berlaku di perairan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram