RATA-RATA bangunan di Pulau Pinang terkenal dengan keunikan reka bentuk dan seni binanya yang tradisional serta penuh sejarah tersendiri.
Dibesarkan dalam keluarga yang bekerja dalam bidang pembangunan hartanah, Low Wei Shane atau dikenali sebagai Shane Low mengambil ilham dari Jepun untuk membangunkan semula bangunan lama sebagai tempat penginapan.
Tidak bersendirian, Shane mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan isterinya, Chong Xin Pin dan sahabatnya, Andy Ooi Chia Yang membina satu perniagaan sewaan penginapan menerusi Aayu Homes di George Town, Pulau Pinang.
BACA LAGI: Tembusi pasaran Malaysia, Dilmah Tea jenama teh ke-3 terbesar dunia hasil warisan generasi keluarga

Shane Low (kiri) bersama isterinya dan Choi Yang (kanan) membangunkan perniagaan tersebut. — Aayu Homes
Usaha tiga usahawan milenial itu sekali gus berjaya mengubah bangunan kedai bersejarah menjadi penginapan warisan yang menawarkan pengalaman unik terutama kepada pelancong.
"Kami percaya bahawa apabila seseorang mengembara, pengalaman menginap di tempat yang benar-benar tempatan lebih bermakna daripada di hotel mewah," katanya.
Selain mengubah suai ruang sebagai tempat penginapan ikonik trio tersebut turut membantu memelihara dan meraikan warisan budaya yang diiktiraf oleh Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2008.
Kadar harga sewaan bagi setu malam bermula dari RM125 hingga RM200 mengikut kategori bilik, manakala keseluruhan rumah boleh disewa serendah RM500.
Menariknya, para pengasasnya juga tidak mempunyai pemilikan mana-mana hartanah tersebut.

Deretan bangunan warisan yang diubahsuai menjadi tarikan pelancong. — Aayu Homes
Model perniagaannya bersifat asset-light di mana syarikat sama ada menyewa rumah kedai untuk diubah suai sendiri atau bekerjasama dengan pemilik dan pelabur bagi menguruskan penginapan tersebut.
Bermula dengan nama Aayu Stewart, rumah tamu dengan lima bilik tidur di lorong kecil itu kini terdapat 11 hartanah di bawah pengurusan mereka selepas hanya setahun atau lebih dalam perniagaan itu.
Ia juga dibahagikan kepada empat vila, tiga rumah tamu dan empat asrama tanpa dua kediaman yang sama.
"Separuh daripada portfolio kami adalah rumah sewa dan separuh lagi milik pelabur atau individu yang kami bantu uruskan," jelasnya.
Menurutnya, kebanyakan rumah kedai memerlukan tempoh pengubahsuaian sekitar dua bulan sebelum disiapkan dan menyasarkan pulangan modal dalam masa enam bulan.
Pemilik pula sering terdiri daripada warga tempatan atau asing yang membeli rumah kedai sebagai kediaman masa hadapan, tetapi menyewakannya hanya sementara waktu.

Gabungan warna dan reka bentuk dalaman sememangnya membawa mood tenang kepada penghuni. — Aayu Homes
Kata Xin Pin, cabaran terbesar mereka adalah memastikan pengubahsuaian tidak menjejaskan struktur asal bangunan.
"Setiap rumah kedai mempunyai keunikan tersendiri, ada yang sempit, silingnya rendah malah ada halaman kecil di belakang.
"Tiada pendekatan reka bentuk yang seragam. Jadi, kami juga tidak mahu berlebihan.
"Matlamat kami ialah mencipta suasana yang menenangkan apabila tetamu melangkah masuk.
"Justeru, pendekatan minimalis dengan tona warna hangat agar ruang terasa tenang untuk menyambut tetamu," ujarnya.
Sebagai pulangan untuk bisnes pengurusan, Aayu Homes mengambil sekitar 30 peratus daripada hasil sewaan.

Setiap bilik dihias dengan konsep minimalis untuk mengekalkan rekaan asal. — Aayu Homes
Persahabatan dalam perniagaan
Kini, Aayu Homes mempunyai pekerja seramai 15 orang termasuk pembantu tetamu dan kakitangan pembersihan.
Selain menjadi rakan kepada tetamu, para pekerja juga berperanan untuk memberi petua dan tip kepada pelancong agar tidak terperangkap dalam aktiviti penipuan.
Ia juga diaplikasikan dalam perniagaannya berdasarkan pengalaman mereka ketika melancong ke Maghribi, Afrika Utara dan bergelut untuk mencari hotel.
Chia Yang mengakui bahawa bekerja bersama rakan membantu memudahkan segala operasi.
"Menjadi ‘orang ketiga’ dalam perniagaan pasangan suami isteri ini ada kelebihannya.
"Saya dapat dua kali ganda idea, tetapi hanya separuh daripada pertelingkahan," selorohnya.
Bagi Chong pula, bekerja dengan suami bukanlah satu cabaran besar kerana bidang tugas masing-masing yang jelas dan teratur.
"Setiap daripada kami mempunyai kuasa membuat keputusan dalam bidang masing-masing.
"Ini membantu mengurangkan risiko berlakunya konflik," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
