PERKARA kecil dalam rutin harian sering menjadi pencetus pertelingkahan atau perselisihan faham dalam rumah tangga.
Sama seperti kisah seorang suri rumah yang tular di media sosial baru-baru ini apabila mendakwa suaminya bertindak dingin angkara kesilapan kecil.
Menerusi hantarannya di akaun Threads @mayaaaayanaa ketegangan itu berlaku gara-gara beliau terlupa menutup penyaman udara di rumah.
BACA LAGI: Kena pujuk macam budak, 5 hari bapa tak nak mandi takut luka basah, anak temui cara mudah!

Pertelingkahan berlaku selepas si isteri terlupa menutup suis pendingin hawa. — Gambar hiasan
"Ada satu hari mungkin saya ingat dah tutup suis pendingin hawa sebab bila kita tekan remote ada bunyi, jadi saya rasa macam dah tutup.
"Keesokan harinya suami kejut dan terus tanya kenapa tak tutup suis. Saya terkedu waktu itu sebab terjaga secara mengejut.
"Suami pun cakap dengan nada sedikit bengang, bila saya nak jawab semula terus dia keluar dan tutup pintu bilik.
"Waktu siang selepas itu memang tak buka pendingin hawa dan perasan alat kawalan pun tiada.
"Tetapi saya syak dia sorokkan di dalam beg kerja walaupun nafikannya," jelasnya.
Tindakan itu bagaimanapun disedari selepas beliau memeriksa beg kerja suaminya.
Kejadian tersebut secara tidak langsung membuatkannya terasa hati kerana mendakwa sering membantu untuk membayar bil elektrik sekiranya jumlahnya terlalu tinggi.
"Saya tahu dia marah dan cakap tidak mengapa saya bayar semula. Ketika dia di dalam tandas saya terus masukkan dui dalam banknya.
"Saya bayar lebih daripada bayaran harian dan selepas itu kami terus tak bercakap, dia pula tidur bilik lain," katanya.
Berdasarkan situasi itu, perkara kecil yang dipandang remeh ternyata mampu menjejaskan hubungan suami isteri sehingga boleh menyebabkan perceraian.
Berikut tiga lagi kes rumah tangga gara-gara perkara kecil dan dianggap remeh sehingga menyebabkan pergaduhan dan penceraian.

Ketagihan menggunakan aplikasi TikTok membawa pergaduhan pasangan suami isteri. — Gambar hiasan
1. Ugutan cerai gara-gara TikTok
Ketagihan aplikasi TikTok hampir memusnahkan rumah tangga sepasang suami isteri di Terengganu apabila suami mengugut untuk menceraikan isterinya kerana tidak puas hati dengan sikap pasangannya leka berhibur di platform tersebut.
Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Terengganu, Moktar Salleh berkata, lelaki berusia 30-an itu juga mudah cemburu selepas hantaran isterinya tular dan menerima perhatian ramai.
Disebabkan keengganan wanita berkenaan untuk menghentikan penggunaan TikTok, suaminya terus mengugut menjatuhkan talak.
Perceraian itu bagaimanapun berjaya dielakkan selepas si suami menetapkan tempoh untuk isterinya berubah sebelum kes dibawa ke Mahkamah Syariah.

Perbezaan cara memicit ubat gigi menjadi punca perceraian. — Gambar hiasan
2. Ubat gigi jadi punca perceraian
Perkahwinan yang sepatutnya menjadi medan toleransi dan saling melengkapi tetap boleh berakhir dengan perceraian apabila isu-isu kecil gagal ditangani secara matang.
Berdasarkan pengalaman dikongsikan seorang hakim pada 2019, terdapat kes perceraian yang berpunca daripada rutin menggunakan ubat gigi.
Kes membabitkan pasangan yang bercerai itu hanya kerana perselisihan tentang cara memicit ubat gigi.
Si suami lebih gemar memicit dari belakang, manakala isteri pula membiasakan diri memicit dari tengah.
Perbezaan kecil itu dikatakan sering mencetuskan pertengkaran sehingga hubungan menjadi tegang dan akhirnya membawa mereka ke mahkamah.

Nasib seorang wanita berakhir tragis hanya kerana kematian anak ayam peliharaan suaminya. — Gambar hiasan
3. Gara-gara anak ayam
Seorang wanita di Indonesia tidak bernasib baik apabila diceraikan suaminya hanya kerana kematian beberapa anak ayam peliharaan.
Pertelingkahan berlaku apabila si suami menuduh isterinya menjadi punca kematian anak ayam tersebut.
Meskipun si isteri cuba mempertahankan rumah tangga demi masa depan anak-anak, suaminya tetap bertegas untuk menuntut perceraian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
