Tembusi pasaran Malaysia, Dilmah Tea jenama teh ke-3 terbesar dunia hasil warisan generasi keluarga


  • Bizz
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Dilhan (kanan) dan Malik (kiri) menjadi penyambung legasi perniagaan teh bapanya. — Agensi

MENGHIRUP teh hangat pada waktu senja mungkin menjadi rutin harian bagi sesetengah masyarakat.

Namun, bagi seorang lelaki dari Sri Lanka bernama Merrill J. Fernando, setiap titisan teh membawa makna perjuangan, kasih sayang dan keikhlasan.

Bukan sekadar usahawan, Merrill, 87, juga dikenali sebagai pemangkin revolusi industri teh sedunia.

BACA LAGI: ‘Saturday Midnight Sale’ tarikan dimensi terbaharu Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Johor

BACA LAGISingle pertama sebagai Biduanita Negara, Siti Nurhaliza abadikan perjalanan seni menerusi 'Sejarah'

Dilmah Tea antara jenama terawal yang diusahakan dari ladang teh di Sri Lanka. — Agensi 

Dari ladang teh di tanah kelahirannya, Sri Lanka, beliau membangunkan jenama pertamanya, Dilmah Tea yang diproses dan dieksport dari negara itu.

Ia juga merupakan jenama teh ketiga terbesar di dunia dan perniagaan keluarga dengan pelbagai generasi selama 30 tahun.

"Dilmah bukan sekadar jenama teh, tetapi ia adalah falsafah bagi sifat kasih sayang dan kebersamaan," katanya.

Ketika ramai seusianya memilih untuk berehat, Merrill masih aktif menjelajah dunia, menghadiri festival, bertemu pengedar dan berkongsi kisahnya.

Hasil keberanian dan usahanya menentang sistem industri teh kolonial yang lama bergantung kepada pengilang dan pengedar Barat, Dilmah kini dijual di lebih 100 buah negara termasuk Malaysia.

Pada 1950-an, beliau menjadi antara rakyat Sri Lanka pertama dilatih sebagai penilai teh oleh pengeluar British. 

Namun, pengalaman bekerja di London membuka matanya terhadap ketidakseimbangan dalam industri apabila teh terbaik dari Sri Lanka dicampur dengan teh murah dari negara lain dan dijual atas nama Ceylon Tea.

"Saya fikir, bagaimana jika saya cipta jenama sendiri, menawarkan teh terbaik dunia dan berkongsi keuntungannya dengan pekerja ladang," jelasnya.

Dengan tekad itu, beliau mengambil langkah berani menubuhkan syarikatnya pada 1962 dan akhirnya melancarkan jenama Dilmah pada 1988 yang merupakan gabungan nama dua anaknya, Dilhan dan Malik.

Merrill membawa jenama tehnya sehingga ke peringkat global. — Agensi

Kejayaannya bagaimanapun bukanlah hanya diukur melalui keuntungan. 

Sejak awal, beliau meletakkan prinsip prihatin dan berkongsi di setiap cawan teh Dilmah.

Semua keuntungan pembungkusan teh dikembalikan ke Sri Lanka untuk membiayai dua inisiatif utama iaitu menerusi Yayasan Amal MJF (MJF Charitable Foundation) dan Konservasi Dilmah.

Kedua-dua saluran itu betujuan untuk membantu pendidikan, wanita, komuniti miskin dan golongan kurang upaya, melindungi biodiversiti serta menggalakkan kelestarian alam sekitar.

Hasilnya, lebih 100,000 rakyat Sri Lanka mendapat manfaat daripada program pendidikan, latihan dan pembangunan komuniti tajaan Dilmah.

Legasi perniagaan keluarga

Kini, Dilmah dikendalikan oleh dua anak lelakinya, Malik J. Fernando dan Dilhan C. Fernando di bawah kumpulan induk MJF Group.

Malik menguruskan operasi dan juga cabang hospitaliti mewah Resplendent Ceylon, sementara Dilhan memacu inovasi produk serta aktiviti kebajikan.

Selain kopi, teh juga antara minuman yang membawa kegembiraan buat peminatnya. — Agensi

Merrill bagaimanapun masih memainkan peranan sebagai pengerusi dan penasihat, malah sudah menyiapkan pelan pewarisan dan amanah keluarga bagi memastikan nilai-nilai asal Dilmah kekal untuk generasi akan datang.

"Saya mahu cucu-cicit saya terus menerima dividen bukan sekadar daripada keuntungan, tetapi nilai kejujuran dan kasih sayang," ujarnya.

Dalam usaha menyesuaikan diri dengan generasi baharu, Dilmah turut melancarkan rangkaian t-Lounge by Dilmah yang beroperasi sebagai kafe premium meraikan seni menikmati teh.

Di kafe itu, teh dihidang dalam pelbagai variasi iaitu panas, sejuk bahkan diolah menjadi minuman koktel. 

Lebih menarik, cawangan t-Lounge juga berkembang pesat di Timur Tengah termasuk Sri Lanka, Malaysia, Indonesia, Filipina, India dan Brunei.

Melalui inisiatif Dilmah School of Tea pula, syarikat tersebut mendidik ribuan pelajar, cef dan peminat teh dari seluruh dunia tentang sejarah, budaya dan inovasi dalam industri itu.

"Saya cuma insan biasa, tetapi Tuhan beri saya misi. Dan misi saya adalah menjadikan teh ini sumber kasih dan harapan kepada semua," ucapnya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram