'Apit pergi dulu sambil lambai tangan', abang kongsi detik adik derita kanser sebelum hembus nafas terakhir


  • Bonda
  • Ahad, 09 Nov 2025

Detik-detik terakhir sebelum pemergian Mohamad Syazwan pada 16 September lalu. — Threads

KISAH pilu mengenai pemergian pemuda berusia 22 tahun baru-baru ini menyentuh hati ramai.

Menerusi perkongsian abangnya di akaun Threads @_exx_dxx, adiknya, Mohamad Syazwan Shahafiz Zulkepli dikatakan meninggal dunia pada 16 September lalu.

Pemilik akaun tersebut turut menceritakan semula detik-detik sebelum adiknya yang 'bertarung' kanser selama dua tahun menghembuskan nafas terakhir.

BACA LAGI: Elak guna pelembut dan peluntur, wanita kongsi tip cuci lantai sampai berkilat guna 3 bahan

BACA LAGI: Hilang nyawa akibat makan suplemen RM20 di TikTok, doktor saran jangan beli tanpa rujuk pakar

Katanya, arwah Mohamad Syazwan sempat minta untuk pulang ke rumah kakaknya.

"Semasa di hujung hayat, dia minta nak balik rumah kaklong.

"Pada 15 September pukul 8 malam, dia sampai rumah.

"Tidak lama selepas itu, pada 16 September pukul 2 pagi, dia pergi buat selama-lamanya," kongsinya.

Lebih menyedihkan apabila detik terakhir itu turut diiringi dengan kata-kata penuh makna daripada arwah.

"Dia sempat cakap, Apit pergi dulu' sambil melambai tangan kepada kami semua dan cakap 'dia dah datang'.

"Bila kakak tanya siapa yang datang, dia jawab 'masa.

"Sebelum pergi, dia senyum beberapa kali bukan kepada kami, tetapi seolah-olah kepada seseorang yang kami tak nampak," jelasnya.

Katanya, arwah juga menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang dan seolah-olah sedang tidur.

"Alhamdulillah, arwah pergi dengan tenang. Tiada kesakitan yang terlihat.

"Mungkin kerana dua tahun dia menahan sakit akibat kanser, ALLAH mudahkan pemergiannya," ujarnya.

Selain kanser, Mohamad Syazwan juga didiagnos mengalami Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram