DI sebalik penampilan punk dan santai, tersembunyi kisah penuh liku serta usaha tanpa henti bekas peserta program realiti televisyen MasterChef Indonesia musim ke-10.
Dahulunya dipuji juri profesional di hadapan penonton, Syahril Lazuardi kini bergelar sibuk menguruskan tiga jenama perniagaan kulinarinya di sekitar Tulungangung, Indonesia.
Lelaki berusia 28 tahun berasal dari Bangkalan, Madura itu ternyata bukanlah datang dari keluarga senang.
BACA LAGI: Tembusi pasaran Malaysia, Dilmah Tea jenama teh ke-3 terbesar dunia hasil warisan generasi keluarga

Syahril merupakan satu-satunya peserta MasterChef Indonesia musim ke-10 yang berasal dari Jawa Timur. — Agensi
Sejak di bangku sekolah lagi Syahril sudah belajar untuk hidup berdikari.
Menumpang di rumah sewa dan bekerja sambilan sebagai pencuci pinggan selepas tamat waktu sekolah menjadi rutin hariannya.
"Pagi sekolah, pulang petang dan waktu malam kerja. Yang penting ada duit untuk hidup," katanya sambil mengimbau kenangan pada zaman remajanya.
Disebabkan dirinya yang aktif bekerja, Syahril mendedahkan bahawa pernah dicemuh oleh guru dan rakan di sekolah, malah dianggap tiada masa depan.
Semua itu bagaimanapun menjadi pembakar semangat untuknya membuktikan sesuatu kepada dunia.
Dari sekadar membantu di dapur restoran, Syahril akhirnya jatuh cinta pada dunia kulinari sehingga mahir mengolah masakannya sendiri.

Pengalamannya sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran membantu Syahril untuk bertahan dalam dunia kulinari. — Agensi
Langkah Ke Dunia MasterChef
Selepas empat kali percubaannya gagal, Syahril akhirnya berjaya menyertai pertandingan MasterChef tersebut pada 2023
Penampilannya yang berani dan karakter uniknya sekali gus menjadikannya antara peserta paling diingati.
Namun, di sebalik sorotan kamera dan pujian juri, Syahril tetap berpijak di bumi nyata.
"Siapa kata kalau masuk televisyen terus kaya. Selepas keluara dari MasterChef, saya bahkan jatuh," katanya.
Selepas tidak berjaya mara ke peringkat akhir program tersebut, kehidupannya tidaklah semewah yang disangka.
Tawaran kerja mula berkurang dan pendapatannya juga semakin sepi.
Wang simpanan yang disangkanya cukup untuk bertahan lama akhirnya habis juga.

Syahril kini aktif mengusahakan bisnes kecilnya di Tulungagung. — Agensi
Katanya, telefon bimbit yang digunanya turut terpaksa dijual demi menanggung kos rumah serta sisa wangnya sebanyak RP2 juta (RM500) digunakan untuk melangsungkan pernikahan secara kecil-kecilan.
Tidak mahu menyerah begitu sahaja, Syahril bangkit membina usaha kecil-kecilan di Tulungagung.
Bermula dengan warung kecil, kedai sambal hingga gerai menjual kulit ayam goreng.
Semuanya dilakukan sendiri, dari membeli bahan mentah di pasar sebelum subuh, memasak hingga melayani pelanggan pada waktu malam.
"Benar, ia penat. Tetapi lebih baik kerja keras sendiri daripada percaya orang yang akhirnya tipu kita," ucapnya.
Meskipun keuntungannya tidak seberapa, dia tetap bersyukur masih mampu memberi nafkah kepada keluarga kecilnya.
Antara cita-cita dan realiti
Pernah terlintas di fikirannya untuk berhijrah ke luar negara dan bekerja di Amerika Syarikat (AS) demi mengubah nasib yang lebih baik.
Namun, naluri seorang ayah membuatkannya berhenti berfikir panjang.
"Kalau saya ke sana, siapa jaga anak dan isteri? Saya tak mahu kejar duit tetapi hilang keluarga.
"Ibu pernah kata, yang penting tetap bekerja dan jangan malu jadi diri sendiri.
"Saya pegang kata-kata itu hingga kini," jelasnya.
Sebagai individu yang pernah melakar nama dalam industri kulinari, Syahril mengakui masih tersemat rasa rindu untuk berada di dapur restoran yang besar.
"Kadang-kadang saya rindu nak masak untuk pelanggan yang ramai, menyajikan makanan untuk mereka.
"Tetapi masih belum terima sebarang tawaran dan mungkin belum waktunya lagi," ucapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
