[VIDEO] Gara-gara telefon Saddil ‘mati’, tonggak Persib nyaris disaman polis selepas tundukkan Selangor FC


  • Podium
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Tangkap layar memaprkan detik cemas Adam bersama Saddil berdepan dengan polis selepas melakukan kesalahan memasuki laluan bertentangan. — Agensi

MALAM penuh drama dilalui pemain tengah Persib Bandung, Adam Alis, bukan sahaja di atas padang tetapi juga selepas tamat perlawanan menentang Selangor FC dalam saingan AFC Champions League 2 2025/2026 di Stadium MBPJ dekat Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Difahamkan, kenderaan yang dinaiki Adam bersama beberapa rakan sepasukan tiba-tiba ditahan anggota polis, sehingga pemain berusia 31 tahun itu menyangka dirinya bakal dikenakan saman.

Menurut Adam, kejadian itu berlaku sebaik mereka selesai menikmati makan malam di sebuah restoran nasi lemak berhampiran stadium.

BACA LAGI: Bagaikan hilang 'taring', 2 bekas penggempur HM belum berjaya ledak gol untuk kelab masing-masing di Liga M

BACA LAGI: Piala FA: Aksi terbesar dalam sejarah Kuching City, usah terlalu hormati JDT

"Kami baru lepas makan nasi lemak di Nasi Lemak Burung Hantu. Kawasannya masih dalam kawasan kompleks, bukan di jalan utama.

"Tiba-tiba dua anggota polis yang sedang membuat rondaan menahan kereta kami. Mungkin mereka sangka kami penyokong Persib,” katanya menerusi siaran langsung di akaun Instagram miliknya, @adam.alis18. pada Khamis.

 

 

 

 

Adam menjelaskan, situasi itu berpunca apabila rakannya, Saddil Ramdani yang memandu ketika itu, tersalah arah akibat aplikasi navigasi telefon yang tiba-tiba terpadam.

"Disebabkan peta dalam telefon Saddil terpadam, dia tersilap masuk arah bertentangan. Ketika itulah dua anggota polis menahan kami dan sempat ambil gambar nombor plat kereta," ujarnya.

Tambahnya, polis turut meminta pasport kerana menyangka mereka warga asing. Namun keadaan kembali tenang selepas Robi Darwis, salah seorang pemain yang juga anggota tentera Indonesia, menunjukkan kad keahliannya.

"Selepas Robi tunjuk kad anggota tentera, mereka terus mesra dengan kami. Mujur semua selesai dengan baik," katanya sambil ketawa.

(Dari kiri) Saddil dan Adam merupakan tonggak utama Persib Bandung. — Agensi

Dalam aksi menentang Selangor FC itu, Adam menjadi wira kebangkitan Persib apabila meledak dua gol penting yang membantu kemenangan dramatik 3-2.

Masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-65 menggantikan Luciano Guaycochea, Adam berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-81 hasil hantaran Marc Klok sebelum menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan minit ke-90+6.

Gol terakhir itu berpunca daripada sepakan penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel, yang terkena kaki Adam sebelum bola bergolek masuk ke gawang.

Selangor FC pada awalnya mendahului permainan menerusi jaringan Chrigor Moraes pada minit ke-3 dan gol sendiri Patricio Matricardi pada minit ke-17, sebelum Andrew Jung merapatkan kedudukan untuk Persib pada minit ke-48.

Dengan kemenangan 3-2 itu, Persib Bandung kini mendahului Kumpulan G dengan 10 mata, satu mata di hadapan Bangkok United manakala Selangor secara rasmi tersingkir dari kejohanan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram