'Bukan eksperimen semata', skuad Jang pertahan keputusan 'friendly' jumpa negara Asean


  • Podium
  • Rabu, 05 Nov 2025

Skuad Hobin Jang Hobin kini berada di tangga keenam carta Liga Super dengan mengumpul 12 mata penuh selepas lapan perlawanan. — Facebook NSFC

KELAB Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat enggan mensia-siakan 'waktu rehat' Liga Super apabila mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 menentang pasukan kebangsaan Timor Leste pada Ahad ini.

Aksi yang dijadual berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan itu dilihat menjadi antara langkah proaktif skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil bagi memastikan pasukan tidak hilang momentum sepanjang tempoh rehat saingan liga.

Menurut pentadbir laman Facebook rasmi Negeri Sembilan Football Club, tujuan utama perlawanan persahabatan bagi memastikan pemain kekal dalam keadaan bersedia dan memperoleh minit permainan.

BACA LAGI: Malang berganda, kelab Colombia dalam proses tamatkan kontrak Holgado serta-merta

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Bukan setakat rambut stailo pakai but berjenama’, prospek JDT kini dilabel ‘the next Arif Aiman’

"Tujuannya untuk kekalkan match fitness dan bagi minit permainan. Bukan eksperimen semata," jelas pentadbir laman berkenaan menjawab komen seorang penyokong yang mempertikaikan perlawanan persahabatan tersebut.

Langkah itu juga dilihat sebagai peluang buat barisan kejurulatihan menilai semula prestasi serta keserasian pemain sebelum kembali ke aksi kompetitif dalam saingan domestik.

Di laman sosial, rata-rata penyokong menyambut baik keputusan NSFC mengadakan aksi berkenaan dan menyifatkannya sebagai pendekatan bijak bagi memastikan pasukan kekal bersedia.

Seorang penyokong, Shafiq Ghapar, berkata, inisiatif mengadakan perlawanan persahabatan adalah pendekatan yang baik untuk mengekalkan keserasian pemain dan mengukuhkan hubungan di dalam pasukan.

"Boleh saja, bagi tingkatkan lagi chemistry. Practice makes perfect" katanya.

Sementara itu, Mohd Khaiz berpandangan tempoh rehat yang panjang seharusnya dimanfaatkan dengan perlawanan seperti itu, sekali gus memastikan pasukan kekal aktif dan tidak kehilangan sentuhan permainan.

Katanya, tidak ada salahnya untuk mengisi waktu rehat dengan aksi persahabatan kerana ia mampu memperbaiki aspek permainan yang masih belum sempurna.

Secara keseluruhan, penyokong percaya pendekatan NSFC ini bakal membantu skuad Jang kekal kompetitif dan berada pada tahap terbaik apabila saingan domestik bersambung semula.

Untuk makluman, saingan domestik pada hujung minggu ini bakal menyaksikan pertemuan empat pasukan iaitu Sabah FC, Selangor FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Kuching City FC di pusingan separuh akhir Piala FA.

Ia kemudian diikuti dengan rehat kalendar FIFA yang bakal menyaksikan saingan Liga Super berehat sebelum kembali diteruskan pada 21 November dengan rehat panjang itu sudah tentu sedikit sebanyak mengganggu rentak mana-mana pasukan, termasuk skuad Jang.

Untuk rekod, skuad Hobin Jang Hobin kini berada di tangga keenam carta Liga Super dengan mengumpul 12 mata penuh selepas lapan perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram