Akad nikah, 'final exam' punca 2 bintang Liga Super terpaksa ke venue naik helikopter


  • Podium
  • Sabtu, 01 Nov 2025

(Dari kiri) Haris Safwan dan Akmal Md Zahir, masing-masing berkongsi satu semangat sama tanggungjawab kepada pasukan tidak pernah diketepikan walau dalam apa jua keadaan.

 

 

JIKA hari ini pemain bola sepak tiba ke stadium menaiki bas pasukan yang serba moden, ada satu kisah luar biasa dalam sejarah bola sepak tempatan yang masih segar di ingatan peminat.

Percaya atau tidak, ada dua pemain Liga Super yang pernah tiba ke venue perlawanan menaiki helikopter.

Ya, bukan sekadar gurauan atau gimik promosi, tetapi benar-benar berlaku.

Dua pemain itu ialah Haris Safwan Kamal dan Akmal Md Zahir, masing-masing mewakili dua generasi berbeza, namun berkongsi satu semangat sama tanggungjawab kepada pasukan tidak pernah diketepikan walau dalam apa jua keadaan.

BACA LAGI: Ambil peluang kecederaan Afro, Sabah ada peluang tundukkan Selangor di laman sendiri

BACA LAGI: Bagaikan hilang 'taring', 2 bekas penggempur HM belum berjaya ledak gol untuk kelab masing-masing di Liga M

Bagi Haris Safwan, detik luar biasa itu berlaku lebih dua dekad lalu ketika dia masih bergelar pelajar universiti.

Pada waktu itu, Haris berdepan situasi sukar, terpaksa mengejar masa antara peperiksaan akhir di Universiti Malaya dan aksi separuh akhir Piala Malaysia di Kangar, Perlis bersama pasukannya, MPPJ FC.

Dalam kekalutan itu, hanya ada satu jalan keluar iaitu menggunakan pengankutan udara bagi memastikan dia sampai tepat pada masanya.

Haris tiba di Kangar, Perlis beberapa jam sebelum aksi dilangsungkan.

Jadi, dalam memastikan pemain kelahiran Terengganu itu dapat diturunkan aksi timbal balik di tempat lawan, MPPJ FC mengambil keputusan menyediakan helikopter untuk menerbangkannya dari Lembah Klang dan terus ke Utara tanah air bagi pertembungan terbabit.

Pengendali MPPJ FC ketika itu, Datuk Dollah Salleh jelas bergembira dengan kehadiran Haris yang tiba hanya beberapa jam sebelum sepak mula di Stadium Kangar, Perlis.

Malah, usaha daripada pihak pengurusan tersebut membuahkan hasil kerana kelab berkenaan mencatatkan keputusan seri 1-1, sekali gus berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2.

Manakala bagi Akmal, kisahnya pula lebih romantik tetapi tidak kurang juga dramatik.

Akmal muncul sebagai pemain kedua dalam sejarah bola sepak tempatan yang menerima layanan bak 'VIP' apabila diterbangkan menaiki helikopter untuk bersama pasukan menghadapi aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 2021.

Akmal dan pasangannya selamat mendarat di Padang 10 Wisma MUSA, Kompleks Sukan Hang Jebat, Melaka sekitar pukul 2.50 petang, menaiki helikopter khas dari Sungai Siput, Perak, sejurus selepas majlis akad nikah mereka selesai.

Akmal (kiri) dan pasangannya selamat mendarat di Padang 10 Wisma MUSA, Kompleks Sukan Hang Jebat selepas majlis akad nikah mereka selesai di Perak.

Ketibaan pasangan pengantin baharu itu nyata mencuri tumpuan apabila Akmal terus bersiap sedia menyertai rakan sepasukan Melaka United bagi menghadapi aksi menentang Kuala Lumpur City FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United pada ketika itu, Datuk Seri Justin Lim berkata, inisiatif itu diambil bagi mengelak sebarang masalah kepada pasukan.

"Akad nikah tidak boleh ditukar dan sebab itu kita aturkan helikopter kepadanya supaya tidak ada apa-apa masalah.

"Apatah lagi ini tahun ke-100 Piala Malaysia dan kita mesti buat apa saja demi Melaka," katanya.

Walaupun Melaka United tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021, namun detik itu tetap menjadi kenangan manis buat Akmal dan pasukannya.

Biarpun keputusan tidak memihak kepada mereka, momen luar biasa diterbangkan dari majlis akad nikah ke padang bola sepak dengan menaiki helikopter itu kekal terpahat sebagai antara kisah unik dalam arena bola sepak tempatan.

Untuk rekod, Akmal Md Zahir kini beraksi bersama pasukan Penang FC dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram