KESELAMATAN diri perlu sentiasa diutamakan walaupun ketika mahu membantu orang lain yang ditimpa musibah.
Itu pengajaran yang dapat diambil daripada insiden tular melibatkan seorang penunggang motosikal wanita yang secara tiba-tiba membuat pusingan U (U-turn) di sebuah lebuh raya untuk membantu rakannya yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.
Rakaman video aksi berisiko itu dimuat naik oleh pengguna Facebook, Mohd Zulkifli, pada Selasa dan dengan pantas menarik perhatian warga maya selepas dikongsi semula di pelbagai platform media sosial.
BACA LAGI : [VIDEO] Ultras Nogori 9 tampal stiker di pesawat undang bahaya, wajib dikenakan tindakan tegas
BACA LAGI : [VIDEO] 'Perlu ke nak tunjuk baran?', diherdik penumpang bas, tenangnya pak cik RELA sifat cukup 'mahal'
Difahamkan, wanita terbabit sedang berkonvoi bersama beberapa rakan menuju ke sebuah destinasi sebelum salah seorang daripada mereka hilang kawalan lalu terjatuh di bahu kiri lebuh raya.
Menyedari kejadian tersebut, wanita berkenaan dilihat berpatah balik dengan membuat pusingan U secara tiba-tiba tanpa menghiraukan kehadiran sebuah kereta di hadapannya.
Mujur, pemandu kereta berwarna merah itu sempat memperlahankan kenderaan bagi mengelakkan insiden yang lebih buruk.
Walaupun tindakan wanita itu berpunca daripada niat baik untuk membantu rakannya, namun rata-rata pengguna media sosial menegur tindakannya yang disifatkan sebagai berbahaya dan boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Seorang pengguna Facebook, Khalid Achil, menasihatkan agar penunggang motosikal lebih berhati-hati ketika mahu membantu orang lain.
"Nak membantu memang bagus, tapi kena jaga keselamatan diri juga bila berhenti dan U-turn. Jangan main suka-suka, bahaya pada diri dan orang lain," tulisnya.
Sementara itu, Leo Marco pula menyifatkan tindakan wanita berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab kerana dilakukan di laluan kenderaan lain.
"Kalau tak kena tak apa. Kau U-turn dalam laluan kereta, kan boleh saja berhenti di tepi dulu. Silap hari bulan, kau kena 'sapu', kau m**i orang lain pun terlibat sama," katanya.
Bagi seorang warga maya, Ieja Nuek pula beranggapan tindakan penunggang wanita itu terburu-buru dan tidak wajar kerana boleh mengundang bahaya.
"Aku yang perempuan ini pun geram tengok dia U-turn macam itu. Salah cara tu cik kak oi. Orang lain nak main motor, kau pun ikut gatal. Nak tunjuk jiwa rempit konon, akhirnya sama-sama bahaya,"katanya.
Kejadian itu menjadi peringatan penting kepada semua penunggang agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain dalam apa jua keadaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
