PERKHIDMATAN tren transit aliran massa (MRT) laluan Putrajaya mengalami gangguan jadual selepas berlaku kejadian pencerobohan landasan dipercayai akibat cubaan mencuri kabel gentian optik antara Stesen Sri Damansara Barat dan Stesen Sri Damansara Sentral sekitar pukul 2.24 petang Rabu.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan memaklumkan, langkah keselamatan segera diambil dengan memutuskan bekalan kuasa di kawasan terjejas bagi menjamin keselamatan penumpang.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tren dan bas perantara alternatif turut diaktifkan bagi memudahkan perjalanan pengguna yang terjejas.
BACA LAGI: Malang berganda, kelab Colombia dalam proses tamatkan kontrak Holgado serta-merta
"Tren perantara kini menggunakan satu landasan dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Sungai Buloh, manakala bas perantara percuma disediakan antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Kepong Baru.
"Tren dari Stesen Putrajaya Sentral pula akan berpatah balik di Stesen Kepong Baru," jelas kenyataan tersebut pada Rabu.
Pasukan polis bantuan Prasarana turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel berkenaan.
Rapid Rail berkata, petugas stesen telah ditempatkan di platform dan ruang legar bagi membantu penumpang selain membuat pengumuman berkala berhubung jadual perjalanan tren.
"Penumpang dinasihatkan merujuk laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini," katanya.
Rapid Rail turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini.
Sementara itu turut tular beberapa video dan gambar di laman media sosial orang awam terutamanya pengguna perkhidmatan tersebut berhimpit memenuhi ruang stesen MRT di beberapa kawasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
