'Saya masih menyayanginya sepenuh hati', lelaki Sibu dipenjara 20 tahun lepas tetak isteri, anak perempuan


  • Kes
  • Selasa, 04 Nov 2025

Rahim (tengah) dipenjara 20 tahun selepas menyerang isteri dan anaknya menggunakan parang sehingga kritikal.

SEORANG lelaki di Sibu, Sarawak dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun selepas didapati bersalah menyerang isteri dan anak perempuannya menggunakan parang.

Rahim Shim Abdullah, 58, mengaku bersalah terhadap dua kesalahan di Mahkamah Sesyen Sibu pada Selasa.

Tertuduh menyerang isteri, Fatimah Mohamamad @ Foung Swee Fung, 46, dan anak perempuan, Nohaida Shim Mee Jun Rahim Shim, 20, di kediaman mereka dekat Permai Jaya pada 29 Oktober sekita 5.38 pagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Transformer rosak punca pasar raya meletup di Mexico, 23 termasuk kanak-kanak terkorban

BACA LAGI: Tembak Sungai Golok: Polis tak tolak kemungkinan bekas kiper Kelantan melarikan diri ke Malaysia

Keadaan semasa suspek (tiga dari kanan) ditangkap ketika hari kejadian. — Media sosial

Isterinya dilaporkan masih lagi dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Sibu. 

Rahim didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah, dibaca bersama Seksyen 326A bagi kesalahan yang melibatkan ahli keluarga.

Dalam rayuan pengurangan hukuman, Rahim memberitahu mahkamah yang dia masih menyayangi isterinya sepenuh hati dan menyesali tindakannya.

Dia mendakwa tidak berninat mencederakan mangsa tetapi bertindak dalam keadaan marah kerana menyangka isterinya mempunyai hubungan sulit.

Sehari sebelum kejadian, mangsa ada memberitahu tertuduh yang dia hendak pergi ke sekolah mengambil anak-anak mereka.

Namun, tertuduh mendapati yang bapa mentuanya berbuat demikian dan dari situ, prasangka mula timbul.

Ia ditambah selepas ibu mentuanya berkata, "walaupun kamu sudah berkahwin, apa yang terjadi biarkan saja," ketika tertuduh bertanya kepada bapa mentua mengenai keberadaan mangsa yang dikatakan ada bersama semasa mengambil anak-anak mereka.

"Saya tidak bekerja sejak pandemik sehingga sekarang. Saya kerap bergaduh dengan isteri, tapi saya sentiasa cuba bercakap baik dengan dia. Tapi dia selalu akan menyumpah dan menyerang saya," kata Rahim.

Hakim Musyiri Peet berkata walaupun perbalahan adalah asam garam dalam perkahwinan, tindakan tertuduh sebagai ketua keluarga tetap dikira salah walau apa pun sebabnya.

"Tertuduh, sebagai suami yang sah kepada mangsa pertama dan bapa kandung kepada mangsa kedua, dengan sengaja serta secara serius telah menyerang ahli keluarganya sendiri.

"Bersenjatakan parang, dia telah menyebabkan kecederaan parah yang mengancam nyawa terhadap kedua-dua mangsa, mengakibatkan mereka mengalami penderitaan fizikal dan psikologi yang teruk.

"Adalah amat dikesalkan bahawa, sebagai seorang bapa dan ketua keluarga, tertuduh gagal melaksanakan tanggungjawab asasnya untuk melindungi isteri dan anaknya, sebaliknya telah mencederakan mereka dengan teruk.

"Pelanggaran kepercayaan dan tanggungjawab kekeluargaan ini seterusnya memperberatkan keseriusan kesalahan tersebut," katanya. — The Star/ANDY CHUA

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram