[VIDEO] Penyamun pakai apron pecah masuk kedai runcit, guna tuala elak kesan cap jari di Shah Alam


  • Tular
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Tangkap layar seorang lelaki memecah masuk sebuah kedai di Shah Alam pada awal pagi Khamis.

SEBUAH kedai runcit di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor dipecah masuk seorang lelaki dipercayai penyamun pada awal pagi Khamis.

Kejadian itu tular di media sosial selepas dikongsikan seorang pengguna Threads, @sabr_us, yang memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek berpakaian seperti baru pulang atau mahu ke tempat kerja dengan memakai apron.

Menurut hantaran tular berkenaan, kejadian berlaku sekitar pukul 6 pagi apabila lelaki terbabit dilihat mengorek bahagian pintu sebelum memasuki kedai dan melarikan sejumlah wang tunai yang disimpan dalam laci simpanan.

BACA LAGI: Ibu Zayn Rayyan didapati bersalah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan kaleng-kaleng’, aksi 2 pengawal peribadi iringi Perdana Menteri Jepun di Sidang Kemuncak ASEAN bukti wanita Malaysia boleh!

"Tolong kongsi dan sebarkan! Penyamun awal pagi pukul 6 di Seksyen 13 Shah Alam. Penyamun pakai apron macam baru balik atau baru nak pergi kerja.

"Plat nombor motor KDQ*0. Dia korek pintu kedai runcit dan melarikan tunai dalam cash drawer (peti simpanan wang tunai),” tulis pemilik akaun tersebut.

 

 

Menurutnya lagi, suspek pada mulanya cuba memecah masuk premis lain, namun gagal sebelum bertindak merompak kedai runcit bersebelahan.

“Dia nak masuk A***a tak dapat, jadi dia pergi rompak kedai runcit sebelah... siap ada topeng dalam motosikal," jelasnya.

Melalui rakaman yang dikongsikan, suspek dilihat memberhentikan motosikal di hadapan premis sebelum menggunakan tuala untuk membuka pintu, dipercayai bagi mengelak meninggalkan kesan cap jari dan tindakan yang disifatkan netizen seperti pencuri profesional.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang menzahirkan rasa marah dan berharap pihak berkuasa segera menahan suspek bagi mengelak kejadian sama berulang.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram