[VIDEO] 'Bantu sesama kita tanpa kira bangsa', wanita coret kisah suami tolong lelaki buta melintas, insan lain pula turut menyumbang


  • Tular
  • Rabu, 29 Okt 2025

Tangkap layar suami Fyna membantu seorang lelaki buta di Jalan Gasing pada Rabu.

RAKYAT Malaysia sememangnya terkenal dengan budi bahasa dan semangat tolong-menolong yang tinggi tanpa mengira bangsa, agama mahupun latar belakang.

Walaupun hidup dalam era serba moden dan sibuk, rakyat Malaysia masih tidak lupa untuk berbuat baik dan membantu mereka yang memerlukan tidak kira sama ada kenal atau tidak.

Sikap inilah yang sering menjadi kebanggaan dan membezakan rakyat negara ini dengan masyarakat di negara lain.

BACA LAGI: Masih trauma nyaris dihempap bumbung hotel KL, rider kongsi amalan setiap pagi elak musibah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan kaleng-kaleng’, aksi 2 pengawal peribadi iringi Perdana Menteri Jepun di Sidang Kemuncak ASEAN bukti wanita Malaysia boleh!

Sifat keprihatinan itu sekali lagi terbukti melalui perkongsian tular di platform Threads, apabila seorang pengguna bernama @fynazainudin berkongsi kisah benar yang menyentuh hati ramai pada Selasa.

Menurutnya, dia dan suami ternampak seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan berdiri di tepi jalan sibuk berhampiran Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor.

Melihat keadaan trafik yang sesak dan bimbang keselamatan lelaki dipercayai berbangsa India tersebut, suaminya segera  memberhentikan motosikal untuk membantu membawanya melintas jalan.

 

 

 

 

“Semalam nampak ada abang nak lintas jalan, risau sebab jalan tengah sesak.

"Suami pun cepat-cepat pergi bantu abang itu melintas jalan sebab dia nak ke Lotus Jalan Gasing.

"Kami bawa abang itu sampai ke sebuah stesen minyak berhampiran, selepas itu nak tolong orderkan Grab sebab jauh kalau dia nak jalan seorang diri," tulis Fynazainudin.

Namun, ketika mereka sedang menempah perkhidmatan e-hailing, seorang wanita lain yang kebetulan sedang mengepam tayar di stesen minyak turut menawarkan diri untuk menghantar lelaki berkenaan kerana destinasi mereka sehaluan.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai pengguna media sosial yang kagum dengan keikhlasan dan semangat bantu-membantu sesama rakyat tanpa mengira warna kulit mahupun agama.

"Bangga jadi rakyat Malaysia! Kita tetap bantu sesama kita tanpa kira bangsa.

"Rezeki abang tu, dan terima kasih kepada semua insan baik hati," tulisnya menutup hantaran berkenaan.

Ramai warganet turut meninggalkan komen positif dan meluahkan rasa syukur melihat masih ramai rakyat Malaysia yang berhati mulia serta sudi membantu tanpa mengharapkan balasan.

Kisah kecil namun penuh makna itu menjadi bukti bahawa nilai kemanusiaan masih menebal dalam diri rakyat Malaysia, dan semangat bantu-membantu terus hidup biarpun negara kini melangkah ke era moden yang serba pantas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram