SETIAP idea kreatif dalam dunia pendidikan pasti datang dengan tujuan untuk memudahkan dan mendidik.
Begitu juga dengan langkah inovatif sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh, Melaka yang kini menjadi tular apabila menggunakan lencana nama pelajar dilengkapi kod QR bagi membolehkan guru memberi markah dan ibu bapa memantau prestasi serta aktiviti anak secara harian.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna Threads, @hnas1907, yang berkongsi keterujaannya melihat pendekatan baharu itu.
BACA LAGI: Masih trauma nyaris dihempap bumbung hotel KL, rider kongsi amalan setiap pagi elak musibah
Pengguna Threads itu turut memaklumkan bahawa anaknya turut bersekolah di institusi yang melaksanakan sistem berkenaan, sekali gus memberinya peluang untuk melihat sendiri bagaimana teknologi itu membantu komunikasi antara ibu bapa dan guru.
Katanya, sistem tersebut menggunakan aplikasi ‘Parents QR Points’ yang boleh diimbas oleh guru untuk memberi markah kepada pelajar.
Wanita tersebut turut menjelaskan, pada peringkat awal pelaksanaan, ibu bapa diminta membeli lencana baharu yang mempunyai kod QR, namun tidak semua bersetuju untuk menyertainya.
"Saya kagum sebab melalui QR itu, ibu bapa boleh pantau markah anak-anak setiap hari," katanya sambil memaklumkan sekolah berkenaan masih dalam tempoh percubaan sebelum diwajibkan tahun depan.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai netizen, terutamanya ibu bapa, menyambut baik sistem berkenaan yang dianggap memudahkan urusan pemantauan sahsiah dan prestasi pelajar.
Seorang pengguna, @Nordnoraa, berkata sistem tersebut juga turut dilaksanakan di sekolah anaknya dan disifatkan menyeronokkan kerana ibu bapa boleh melihat perkembangan anak setiap hari.
"Sekolah anak saya guna sistem ini. Seronok sebab setiap hari mak ayah seronok tengok anak dapat point.
"Kalau anak buat baik kat rumah pun ibu bapa boleh bagi markah. Kalau buat kesalahan, cikgu akan tolak markah," katanya.
Seorang lagi warga maya, @Nia, berpendapat penggunaan kod QR menjadikan murid lebih bersemangat untuk belajar dan berdisiplin.
"Setiap kali murid siap latihan, boleh bagi poin. Kalau buat masalah disiplin, cikgu terus demerit. Sangat memudahkan guru-guru," tulisnya
Dalam pada itu, @fairuz.rusli berpandangan sistem tersebut bagus, namun pihak sekolah perlu memberi penerangan jelas kepada ibu bapa mengenai manfaat markah digital itu.
"Kalau nak ibu bapa setuju beli lencana baru, kena sedarkan mereka apa gunanya markah-markah itu," ujarnya.
Langkah tersebut juga dilihat sebagai satu transformasi ke arah digitalisasi pendidikan yang bukan sahaja memudahkan penilaian, malah mengeratkan hubungan antara guru, murid dan ibu bapa dalam membentuk generasi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
