SETIAP ibu pasti mengimpikan untuk melihat kejayaan anaknya, namun takdir menentukan segalanya apabila hasrat seorang ibu menemani anak lelakinya melapor diri di Kementerian Pendidikan di Kuantan, Pahang berakhir dengan tragedi menyayat hati.
Menerusi perkongsian Mr Wan Cai Official di laman Facebook pada Rabu, wanita dikenali sebagai Jemilah Md. Nor, 64, meninggal dunia secara mengejut ketika menginap di sebuah hotel di Jalan Mahkota, Kuantan bersama suami dan anak lelakinya.
"Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian Allahyarhamah berpunca daripada komplikasi akibat penyakit darah tinggi.
BACA LAGI : Masih trauma nyaris dihempap bumbung hotel KL, rider kongsi amalan setiap pagi elak musibah
"Maklumat awal turut mendapati arwah mempunyai sejarah penyakit berkenaan, dan berdasarkan rekod perubatan, pihak polis mengeluarkan permit kematian tanpa memerlukan proses bedah siasat.
"Anak lelaki Allahyarhamah kemudian menghubungi kami iaitu Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) Pahang bagi mendapatkan bantuan untuk membawa pulang jenazah ibunya ke kampung halaman di Bentong," tulisnya.
Tambah Wan Cai lagi, pasukan UKVJ bersama orang awam serta ahli keluarga membantu menurunkan jenazah dari bilik hotel sebelum dibawa ke Masjid Cameng, Batu Satu, Bentong.
"Urusan pengurusan jenazah seterusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak masjid.
"Harapan seorang ibu untuk melihat anaknya menabur bakti sebagai kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak kesampaian," katanya.
Perkongsian dimuat naik oleh Mr Wan Cai Official itu turut mengundang rasa hiba dalam kalangan warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah dan doa buat Allahyarhamah.
Seorang pengguna Facebook, Aqmatos Abdul Hamid, yang mengaku sebagai jiran arwah, turut menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap keluarga terbabit.
“Innalillahiwainnalillahirajiun, Al-Fatihah. Semoga arwah Mak Uda ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Salam takziah buat Pak Ude dan anak-anak. Terima kasih kepada pasukan yang membantu urusan arwah Mak Uda,” katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Muhammad Masanizam, pula tidak dapat menahan sebak ketika membaca kisah tersebut.
“Kadang-kadang bila baca berita di page Wan Cai ni, mengalir sendiri air mata. Bab mak ni Allah sahaja tahu hati dan perasaan.
"Semoga ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman, syahid akhirat buat ibunya,” tulisnya.
Turut berkongsi rasa pilu ialah pengguna bernama Aini Niza mengakui tersentuh hati mengenangkan nasib anak arwah.
“Semoga syurga buat ibunya. Tak boleh bayangkan perasaan anaknya itu. Kasih ibu hingga hujung nyawa, sebak pula rasa,” ujarnya.
Insiden menyayat hati itu bukan sahaja mengundang air mata warga maya, malah turut menjadi peringatan tentang kasih ibu yang tiada penghujungnya.
Dalam setiap langkah kejayaan seorang anak, ada doa dan pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah putus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
