'Bayarlah seadanya', peluncur wanita Sabah hidupkan semangat komuniti melalui Sesi Tikar Mengkuang


  • Bisnes
  • Khamis, 30 Okt 2025

Hannah memulakan perjalanan menubuhkan STM sejak akhir 2020 sehingga kini.

BUNYI desiran ombak dan angin sepoi-sepoi menyapa lembut, melengkapkan panorama Pantai Cherating, Pahang.

Di situlah terjalinnya persahabatan, ruang aktiviti dan komuniti sekali gus menjadikan ia lebih sekadar destinasi pelancongan.

Kecintaan terhadap laut itu juga mencetuskan idea Hannah Moujing untuk menubuhkan sebuah inisiatif yang menggabungkan pelbagai aktiviti seperti meluncur, yoga dan seni anyaman tradisional menerusi Sesi Tikar Mengkuang (STM).

BACA LAGI: Bermula cuma 'order' 3 botol, Jus Asam Kunyit Rahsia Nenek gigih beroperasi dari ceruk dapur

BACA LAGI: Makan sambil berjalan dianggap tidak sopan, pencipta mi segera dalam cawan cabar tradisi Jepun

Hannah juga aktif melakukan sukan meluncur.

Kata Hannah, meskipun ia beroperasi sebagai satu perniagaan namun, bukanlah hanya mahu mengaut keuntungan semata.

Melalui pendekatan santai dan terbuka, Sesi Tikar Mengkuang juga memperkenalkan gaya hidup lebih sihat di samping berperanan memelihara warisan budaya terutama untuk generasi muda.

Aktiviti berteraskan komuniti itu turut menjadi platform kepada penduduk tempatan, pelancong serta pencinta alam untuk bersama-sama meraikan nilai ketenangan dan kesederhanaan dalam kehidupan.

Kata wanita berusia 31 tahun itu, ideanya muncul selepas melihat aktiviti yang tidak banyak dilakukan di pantai selain berenang dan berkelah.

Hannah yang juga aktif dalam sukan meluncur juga mengakui bahawa perubahan cuaca dan musim monsun secara tidak langsung memberi halangan kepada pengunjung untuk melakukan aktiviti di dalam air.

Gabungan amalan gaya hidup sihat dengan elemen tradisional di STM.

"Pada musim monsun ada bulan-bulan tertentu yang kita boleh meluncur ikut sesuatu lokasi.

"Bila saya ke Pantai Cherating, ia merupakan antara destinasi sesuai untuk buat aktiviti sedemikian kerana ombak, akses ke bandar dan infrastrukturnya yang lengkap.

"Tetapi, saya lihat ada juga orang datang tak mahu meluncur. Sebenarnya aktiviti meluncur ini memerlukan tenaga yang banyak dan gunakan kekuatan badan.

"Jadi, badan juga cepat. Disebabkan saya juga ada pernah menjadi penari dan pelatih yoga, saya dapat idea untuk mengajarnya kepada orang lain," katanya kepada Majoriti.

Pun begitu, anak kelahiran Sabah itu menyedari bahawa yoga bukanlah satu senaman yang mudah diterima masyarakat Pantai Timur.

Para pengunjung diajar cara yoga yang tepat di kawasan pantai.

Katanya, yoga masih dianggap sensitif terutama dalam kalangan masyarakat Muslim.

"Disebabkan ramai fikir yoga itu seakan-akan bercanggah dengan tuntutan agama dan tidak sesuai untuk golongan tertentu, saya ambil keputusan untuk berikan nama Sesi Tikar Mengkuang.

"Sebenarnya, nama diinspirasikan daripada rutin harian masyarakat suatu ketika dahulu," jelasnya.

Hannah berkata, dengan kesukaran memiliki tikar khas yoga, orang ramai lebih cenderung menggunakan tikar mengkuang yang tersedia ada di rumah-rumah kampung.

"Tikar mengkuang itu sangat dekat dengan budaya kita. Di Cherating pun ada pusat mengkuang.

"Kalau ke mana-mana seperti di Indonesia dan Vietna, selagi ada air, pasti ada pokok mengkuang. Ia sangat Nusantara," katanya.

Aktiviti santai yang dilakukan dapat mengeratkan hubungan sosial dalam komuniti tempatan.

Sejak itu, STM berkembang menjadi simbol pertembungan antara gaya hidup moden dan warisan tradisi tempatan.

Kelas yoga yang awalnya dilakukan di tepi pantai kini dijalankan di dalam studio kecil dibina khas sebagai langkah berjaga-jaga ketika cuaca monsun tidak menentu.

Bukan sekadar bisnes

Apa yang membezakan STM dengan kelas yoga atau tempat penginapan lain di Cherating ialah semangat komuniti yang dihidupkan oleh pasukan kecil itu.

"Kami bukan sekadar tawarkan tempat penginapan, tetapi kamilah hos, makan, tidur dan bangun pagi bersama macam keluarga.

"Harga bilik yang ditawarkan juga sangat fleksibel mengikut kemampuan pengunjung bermula serendah RM50 satu malam.

"Kadang-kadang, ada yang datang tanpa duit. Kami tetap terima dan ada masanya minta dia bayar seadanya.

"Ada juga sesetengah situasi di mana pelancong asing atau pengembara sendirian datang mencari tempat penginapan bajet.

"Kami tetap terima dan gantikannya dengan servis yang mereka boleh tawarkan seperti bantu ambil gambar, tolong memasak atau promosi ringkas.

"Kami percaya pertukaran nilai bukan semata-mata dibayar dengan wang," ujarnya.

STM juga sesuai untuk disertai pengunjung yang berkeluarga atau mempunyai anak kecil.

Tambahnya, kebanyakan pekerjanya juga merupakan pengunjung yang pernah menggunakan perkhidmatan STM.

"Ada seorang daripada staf bernama Afiah, dia tinggal di asrama saya tanpa sebarang bayaran.

"Sebagai balasan, dia boleh bekerja sebagai tenaga pengajar yoga dengan kami tanpa saya perlu bayarnya gaji.

"Ada juga situasi lain apabila saya terima tetamu asing dari Arizona, Amerika Syarikat (AS) yang mahu tinggal di sini selama enam bulan.

"Dengan syarat, dia akan bantu saya bangunkan laman sesawang STM kerana dia pandai dalam bidang itu," kongsinya sambil menambah bahawa pernah membuat pertukaran tersebut dengan seorang arkitek dari Itali dua bulan lalu.

Hannah bagaimanapun tidak melihat ia sebagai halangan dalam mengembangkan perniagaannya.

Dengan penambahan tenaga kerja, Hannah bersama rakan seperjuangannya, Eyza Ashylla giat membangunkan pelbagai projek demi pembangunan STM.

Disoal pula tentang potensi Sabah yang sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadi.

Hannah tidak menolak potensi destinasi tersebut untuk dijadikan sebagai lokasi pilihan ramai.

"Sabah sangat indah, tetapi sedih. Infrastrukturnya kurang dan peluang kerja yang terhad.

"Saya ada juga perancangan untuk membina sesuatu di sana, tetapi setakat ini mahu fokus buat STM," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram