Ibu bapa pun kena ‘stop’ gajet, Dr. Fadzilah saran 10 soalan 'cepumas' lepas anak pulang sekolah


  • Bonda
  • Selasa, 28 Okt 2025

Waktu pulang dari sekolah merupakan masa penting bagi mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak. — Gambar hiasan/AI

PENGGUNAAN gajet berlebihan bukan sahaja mampu menjejaskan perkembangan sosial, malah mengurangkan masa berkualiti antara ibu bapa dan anak-anak.

Menyedari hakikat itu, pakar motivasi terkenal Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah menyeru ibu bapa agar turut mengurangkan penggunaan gajet ketika berada di rumah.

Menurutnya, ibu bapa perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak terutama selepas mereka pulang dari sekolah.

BACA LAGI: Baru usia 8 tahun, anak Dr. Sheikh Muszaphar 'obses' algebra, sanggup geledah bilik kakak cari buku

BACA LAGI: Giliran anak belajar kulinari, ikut jejak ibu, ayah alumni TVET, potensi luas dalam industri

Dr. Fadzilah menyeru agar ibu bapa lebih banyak meluangkan masa bersama anak berbanding pada gajet.

Beliau berkata, waktu selepas sekolah merupakan masa paling penting untuk ibu bapa mengeratkan hubungan dan kepercayaan dengan anak-anak.

Dr. Fadzilah yang mesra membahasakan dirinya Tok Abah mencadangkan 10 soalan penting wajar ditanya kepada anak setiap hari bagi membantu perkembangan emosi dan moral mereka.

Antaranya:

1. Tanya bagaimana hari anak di sekolah dan apa yang mereka pelajari.

2. Tanya sama ada terdapat rakan yang melakukan perkara tidak baik untuk menanam nilai berfikir antara baik dan buruk.

3. Tanya jika ada yang menyakiti hati mereka, supaya anak berani meluahkan perasaan.

4. Tanya siapa rakan paling rapat pada waktu itu bagi mengenal pasti pengaruh sosial anak.

5. Tanya jika anak ada membantu sesiapa sebagai galakan nilai murni.

6. Tanya perkara paling menyeronokkan di sekolah bagi mengukuhkan emosi positif.

7. Tanya apa yang membuat mereka sedih atau kecewa agar anak tahu emosi mereka dihargai.

8. Tanya apa yang cikgu puji tentang mereka untuk menanam keyakinan diri.

9. Tanya jika ada perkara yang tidak difahami supaya anak tahu mereka boleh bergantung pada ibu bapa.

10. Tanya doa apa yang mereka ingin ibu bapa doakan bagi mendekatkan hubungan dengan keluarga dan ALLAH.

Tambah beliau, ibu bapa juga perlu menjadi 'sahabat sejati' kepada anak di rumah agar suara dan nilai keluarga kekal menjadi panduan utama dalam kehidupan mereka.

"Kalau tidak, anak lebih dengar cakap kenalan di sekolah berbanding suara kita sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram