DALAM tempoh kurang 15 minit, koleksi beg tangan hasil sentuhan bekas guru bahasa Inggeris, Tey Pei Hwa laris terjual setiap bulan.
Ia sekali gus menjadikan jenama begnya, Rags to Peaches antara yang paling dinantikan ramai.
Koleksi beg tangan eksklusifnya juga pernah 'lesap' hanya dalam masa tiga minit.
BACA LAGI: Pernah pandu kapal sebesar KLCC, anak Miri jadi wanita kedua malim pelabuhan di Malaysia

Tey tidak gentar untuk mengekalkan identiti produknya meskipun terdapat persaingan teknologi. — Agensi
Tanpa kilang, pasukan pemasaran dan potongan harga, Tey menghasilkan antara 40 hingga 50 beg setiap bulan dari studionya yang kecil di Tai Seng, Singapura.
Setiap potongan kain dan jahitan dilakukan sepenuhnya oleh wanita berusia 39 tahun itu.
Beg berbingkai besi buatan tangan yang dikenali sebagai gamaguchi itu juga bukan sekadar aksesori.
Malah, ia merupakan gabungan elemen kenangan dan kasih sayang yang dijahit rapi dalam setiap helaian fabrik.
Jepun jadi titik mula
Kisah cinta Tey terhadap gamaguchi bermula pada 2012 ketika mula melancong ke Kyoto, Jepun dan secara tidak sengaja menemui sebuah kedai kecil yang menjual beg berbingkai logam itu di daerah Higashiyama.
"Segalanya begitu indah dan elegan. Saya rasa seperti menemui harta karun.
"Ada keajaiban dalam kesederhanaan beg ini kerana tidak perlu zip atau butang, hanya satu klip besi yang menutupnya," katanya.

Antara koleksi beg gamaguchi yang dihasilkan dan dijualnya. — Agensi
Ketika itu, Tey masih bertugas sebagai guru bahasa Inggeris.
Pertemuan pertama itu membuatkannya sentiasa mahu kembali ke kedai yang sama setiap tahun dan sehingga memiliki lebih 20 jenis beg gamaguchi.
Kecintaannya terhadap fabrik Jepun juga semakin mendalam.
Tey mula mengumpul pelbagai corak daripada cetakan haiwan comel seperti kucing dan anjing baka Shiba Inu kepada kain sutera kimono yang mewah.
Selepas mendirikan rumah tangga pada 2016, Tey mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di London, United Kingdom (UK).
Setahun kemudian, dia mengambil cuti lama untuk mengikuti kursus jahitan sepenuh masa di London sambil menjual hasil kraf tangannya seperti beg kecil dan beberapa aksesori lain.
Sekembalinya ke Singapura pada 2018, dia disahkan hamil dan mula memikirkan semula kerjayanya.
"Sebagai guru, kita bukan sekadar mengajar tetapi juga pakar kaunseling, pentadbir dan penjaga kepada pelajar. Ia sangat memerlukan masa," jelasnya.
Demi memberi tumpuan kepada keluarga, Tey mengambil keputusan untuk berhenti bertugas pada 2019 dan mula mempelajari cara menghasilkan gamaguchi secara serius.
Pelbagai usaha dilakukanya termasuk berguru dengan seorang tenaga pengajar tempatan.

Keluarga kecil menjadi pelengkap dalam hidup Tey. — Agensi
Lahirnya jenama Rags to Peaches
Pada 2020, Tey mengambil langkah berani dengan menghasilkan 15 beg gamaguchi pertama dan menjualnya menerusi laman Instagram.
Lebih mengejutkan apabila kesemuanya habis dijual dalam tempoh singkat.
Begnya juga dijual dengan harga bermula sekitar RM280 (S$80) bagi saiz kecil hingga RM1,000 (S$295) untuk saiz besar.
Namun bagi Tey, hasil jualan bukan ukuran utama.
"Saya masih memperoleh pendapatan lebih rendah berbanding ketika mengajar, tetapi setiap beg membawa nilai sentimental tersendiri," jelasnya.
Setiap rekaan begnya menggunakan lakaran corak yang disesuaikan mengikut bingkai logam berbentuk bujur, segi empat atau petak.
"Beg ini sangat cerewet kalau tersilap satu sentimeter, keseluruhan struktur boleh rosak," ujarnya.
Proses melekatkan fabrik pada bingkai logam juga dilakukan dengan tangan, menggunakan gam khas dan tali kertas yang tersembunyi di dalam bingkai untuk mengukuhkan jahitan.

Logo yang dihasilkan khas bagi memperingati bayi perempuannya yang gugur dalam kandungan. — Agensi
Walaupun boleh menggunakan mesin canggih untuk mempercepatkan proses, Tey tetap memilih untuk mengekalkan sentuhan tangan secara tradisionalnya.
"Bagi saya, keaslian buatan tangan itu memberi roh kepada sesuatu produk.
"Orang boleh rasa ‘jiwa pembuatnya’ ketika memegang beg itu.
"Dalam dunia fesyen pantas sekarang, nilai kemanusiaan itulah yang hilang," katanya.
Kini bergelar ibu kepada dua anak yang baru berusia enam dan tiga tahun, tugas Tey nampaknya lebih bertambah.
Dari pukul 7 pagi hingga 4.30 petang menguruskan anak-anak, Tey perlu bijak menyeimbangkan masa bekerja dan waktu bersama keluarga.
"Anak saya panggil saya tukang kasut yang hasilkan beg.
"Saya fikir adalah penting untuk menunjukkan kepada anak-anak bahawa ibu mereka perlu melakukan sesuatu yang berbeza dan ada laluan alternatif untuk berjaya.
"Kami mungkin tidak begitu kaya, tetapi berjaya dalam aspek lain.
"Ia tentang mempunyai sesuatu yang dinanti-nantikan apabila anda bangun, mempunyai tujuan dan tidak tidur dalam kehidupan," ujarnya.
Meskipun dirasai sudah menggapai kejayaan dalam tempoh singkat, Tey tetap manusia yang berdepan dengan ujian.
Pada 2022, dia kehilangan seorang bayi perempuan yang baru dikandung selama lima bulan akibat masalah jantung dan otak.
Justeru, logo Rags to Peaches dihasilkan menjadi ilustrasi seorang kanak-kanak perempuan dengan gaya rambut tocang dua bersama seekor beruang dan beg kecil gamaguchi.

Beg gamaguchi mini dihasilkan bagi melepaskan kerinduannya. — Agensi
Ia ternyata dedikasi buat anaknya yang tidak sempat melihat dunia itu.
"Setiap kali saya lihat logo itu, saya teringatkan dia. Saya tahu dia masih dekat.
"Setiap beg yang digantungkan, ada sedikit memori tentang dia.
"Dengan cara itu, dia masih hidup dalam karya saya," ungkapnya.
Dalam tempoh mengubat kerinduannya, Tey juga menghasilkan beberapa rekaan beg gamaguchi mini sebagai simbol peringatan terhadap bayinya.
Harapannya, ia juga boleh menjadi hadiah bermakna buat pelanggan kepada anak perempuan mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
