Pernah pandu kapal sebesar KLCC, anak Miri jadi wanita kedua malim pelabuhan di Malaysia


  • Sukses
  • Selasa, 28 Okt 2025

Kapten Emanuel menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan setiap kapal berlabuh dengan selamat. — TikTok/Emanuel

MENGEMUDI kenderaan besar dan berat seperti pesawat atau kapal laut sememangnya bukan tugas mudah.

Namun, di sebalik kesusahan itu terselit rasa tanggungjawab yang sentiasa ditanam dalam diri.

Menjadi antara sosok penting dalam industri perkapalan dan pelabuhan, Kapten Emanuel mencatat sejarah sebagai wanita kedua bergelar malim pelabuhan di Malaysia.

BACA LAGI: Baru usia 8 tahun, anak Dr. Sheikh Muszaphar 'obses' algebra, sanggup geledah bilik kakak cari buku

BACA LAGI: Ibu bapa pun kena ‘stop’ gajet, Dr. Fadzilah saran 10 soalan 'cepumas' lepas anak pulang sekolah

Membesar dalam keluarga dengan kerjaya guru dan merupakan anak bongsu daripada empat beradik, Emanuel mengambil keputusan berani untuk memilih laluan kerjaya yang luar biasa.

Beliau juga merupakan pengemudi kapal-kapa besar yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.

Menerusi video temu bual bersama Jabatan Laut Malaysia baru-baru ini, wanita berasal dari Miri, Sarawak itu pada masa sama berkesempatan berkongsi pengalamannya sepanjang menjalankan tugasnya.

"Ibu bapa saya dua-dua cikgu, abang saya pertama kerja di bidang minyak dan gas, kakak pula kerja perubatan dan abang ketiga bidang perladangan, tetapi saya di sini.

"Bayangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) berada dalam posisi horizontal, itulah saiz kapal yang paling besar saya pernah bawa," katanya.

Sebagai malim pelabuhan, tugas utamanya ialah menavigasi kapal besar untuk berlabuh dengan selamat di kawasan pelabuhan yang sibuk dan sempit.

"Kalau di udara, juruterbang bawa kapal terbang dari satu lapangan ke lapangan lain.

"Tetapi di laut, saya yang bantu kapten kapal bawa kapal mereka masuk ke pelabuhan dengan selamat," jelasnya.

Menurutnya, kebanyakan kapal yang dibawanya boleh menyamai ketinggian menara-menara tinggi di Malaysia sekali gus menggambarkan betapa besar dan kompleks tanggungjawab yang digalas.

Berpengalaman selama empat tahun sebagai malim pelabuhan, Emanuel sudah menavigasi lebih 700 kapal pelbagai jenis dan saiz kapal.

"Pertama kali bawa kapal besar, saya ambil masa dua jam setengah. Sekarang, satu jam pun cukup," tambahnya.

Menurutnya, kerjaya tersebut memerlukan ketahanan mental dan fizikal.

Mereka juga perlu melalui ujian bertulis, penilaian praktikal bersama jurumudi kanan, serta temuduga oleh panel daripada Kementerian Pengangkutan, Jabatan Laut dan Lembaga Pelabuhan sebelum layak memiliki lesen penuh.

"Di Malaysia, ada empat jenis lesen malim iaitu C, B, A1 dan A (unrestricted).

"Lesen terakhir membolehkan kita pandu semua jenis kapal tanpa had.

"Saya juga pernah berdepan situasi cemas ketika di laut. Ketika itu kali pertama dengan pengumuman this is not a drill, pirate on board," ujarnya.

Antara cabaran terbesar baginya ialah ketika berdepan situasi kecemasan di laut.

Walau berdepan pelbagai cabaran, Emanuel tetap bangga menjadi sebahagian kecil kelompok wanita dalam industri perkapalan yang kebanyakannya didominasi lelaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram