[VIDEO] Taktik licik pencuri 'parcel' di Bukit Bintang, guna alasan hantar bungkusan perdaya pengawal keselamatan


  • Kes
  • Selasa, 28 Okt 2025

Kegiatan pencuri tersebut sempat dirakam CCTV sebelum dia meninggalkan kawasan kondominium itu.

TULAR sebuah kegiatan mencuri bungkusan yang diletakkan di luar rumah dalam sebuah kejadian di sebuah kondominium sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Kejadian sempat dirakam kamera litar tertutup memaparkan suspek memakai topi keledar berwarna biru dengan dia pada awalnya dilihat hendak menghantar bungkusan barang.

Namun, selepas membuat penghantaran dan mengambil gambar bungkusan, dia sempat mengambil bungkusan barang berwarna hitam yang memang sudah berada di situ.

BACA LAGI: McDonalds gamatkan Bukit Bintang, lancar Fan Fries Meal XXL hanya RM10

BACA LAGI: ‘KL lockdown’, 6 lebuh raya termasuk Elite-MEX antara ditutup sempena Sidang Kemuncak Asean

Tindakan tersebut kemudiannya dikongsikan di media sosial, termasuk di laman Facebook Warga Wilayah yang meminta mana-mana pihak memiliki maklumat untuk memberi kerjasama.

"Budak ini pandai cakap dekat penjaga keselamatan untuk hantar barang. Selepas itu, curi bungkusan yang dah memang ada di rak barangan. Sesiapa yang kenal budak ni, boleh dah serahkan dekat polis," tulisnya.

Kejadian sedemikian sudah tentu membuatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika membuat pembelian di atas talian kerana tidak mahu barangan dibeli lesap begitu sahaja.

Malah, di ruangan komen, orang ramai turut berpandangan insiden sedemikian perlu menyedarkan pengguna agar tidak leka setiap kali membuat pembelian atas talian.

"Kes curi menyamar, berhati-hati. Sekarang barang banyak hilang tidak kiralah kawasan, harap sesiapa suka sangat beli barang secara atas talian cari tempat letak barang yang sesuai buat peti barang supaya tidak hilang," kata Ahammad Allbad.

"Bahaya betul kes macam ni, risau pula kalau bungkusan dicuri walaupun diletakkan di kawasan selamat. Harapnya tiada lagi pencuri bungkusan sebegini," kata Malik Zaman.

Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kecurian itu walaupun laporan sudah dibuat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram