Rita Sosilawati dedah taktik scammer, hantar parcel berisi 7 gram ganja guna alamat rumah adik, nama penerima tak dikenali


  • Maya
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Rita Sosilawati mendedahkan bahawa satu bungkusan mengandungi ganja dihantar ke rumah adiknya.

ANAK sulung kepada jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana mendedahkan adiknya menjadi mangsa aniaya apabila satu bungkusan mengandungi ganja dihantar ke rumah menggunakan alamat keluarga mereka.

Menurut usahawan lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati itu, kes berkenaan berlaku apabila pegawai kastam hadir ke kediaman adiknya selepas mengesan satu bungkusan dari Thailand yang mencurigakan.

"Scam terbaharu! Alamat rumah pun sudah tak selamat. Semalam pegawai kastam datang rumah adik saya. Mereka kesan satu bungkusan dari Thailand yang ditujukan ke alamat rumah dan di dalamnya terdapat ganja seberat tujuh gram," katanya.

Tambahnya, apa yang lebih membimbangkan, nama penerima pada bungkusan tersebut sama sekali tidak dikenali oleh ahli keluarga mereka.

“Terpaksa buat laporan polis dan disoal siasat. Satu keluarga terkejut, saya doakan siapa yang aniaya keluarga saya ini tidak akan tenang dan selamat dunia akhirat,” luahnya.

Menjawab persoalan warga maya, Rita menjelaskan bahawa suami kepada adiknya merupakan seorang peguam dan mereka telah memastikan semua prosedur kastam diikuti dengan betul.

“Ya, pegawai kastam yang betul. Abang ipar saya seorang peguam. Dia tahu bagaimana untuk pastikan sama ada pegawai Kastam itu betul atau palsu. Jadi jangan pandang ringan, semua orang kena lebih berhati-hati sekarang,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga maya. 

Seorang pengguna, Nazurah memberikan amaran kepada orang ramai agar lebih menjaga maklumat peribadi seperti alamat rumah dan nombor kad pengenalan.

“Perkara macam sangat menakutkan! Jangan sewenang-wenangnya beri nombor IC kepada orang. Kalau buang sampah yang ada label alamat, pastikan buang atau koyakkan dulu terutama label pada bungkusan. Terima kasih kerana berkongsi kisah ini," katanya. 

"Allahuakbar semoga keluarga Datin sentiasa dalam rahmat dan lindungan ALLAH SWT. Aminnn. Banyak maklumat peribadi kita dah bocor sebenarnya.

"Setiap hari dapat telefon walaupun anak umur 18 pun scammer boleh telefon cakap ada hutang bank," kata Azim Siro. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram