[VIDEO] 'Saya minta makan, tiada yang bagi', remaja OKU terharu dibantu lepas kena samun di TBS


  • Massa
  • Isnin, 27 Okt 2025

Remaja berkenaan jelas menzahirkan penghargaan terhadap individu yang membantunya itu.

SUDAH menjadi lumrah untuk mana-mana individu, termasuk dalam golongan remaja yang memberanikan diri untuk ke ibu kota walaupun seorang diri untuk mencari sumber pendapatan baharu.

Bagaimanapun, kadang-kala, ada sahaja cabaran menanti apabila mereka menjadi mangda terhadap keganasan yang tidak dijangka seperti diragut atau disamun.

Itulah apa yang dihadapi seorang remaja berstatus orang kelainan upaya (OKU) yang datang ke Kuala Lumpur (KL) untuk mencari pekerjaan, namun hal sebaliknya pula berlaku.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia makin pentingkan diri naik lif, wanita OKU tampil buat ‘tutorial’ guna eskalator

BACA LAGI: [VIDEO] GreenScoot permudah urusan orang tua-OKU ke masjid sekitar Kedah, kini intai pasaran Brazil-Nigeria

Kisah itu dikongsikan pengguna TikTok, ezzuchang yang bertemu seorang remaja difahamkan menjadi mangsa samun ketika baru sahaja tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

"Saya di TBS, ada abang itu kata dia boleh bagi kerja. Jadi, saya ikut dia, tetapi tiba-tiba dia ambil topi keledar saya, beg dan dompet saya sebelum larikan diri," kata remaja tersebut.

Malah, lebih menyedihkan lagi, remaja berkenaan berada dalam keadaan tidak berselipar dengan kepalanya turut mengalami kecederaan dipercayai dipukul ketika insiden samun terbabit.

Pemilik akaun TikTok tersebut turut menyajikan makanan dan minuman kepada mangsa samun itu yang amat menghargai pemberian tersebut kerana mungkin berhari-hari tidak dapat sesuap nasi.

Remaja berkenaan turut menceritakan dia sudah kehilangan ibu bapa dan memegang kad OKU kerana bermasalah dalam pelajaran.

Remaja berkenaan menceritakan dirinya disamun ketika berada di TBS.

"Saya meminta makanan kepada orang lain, tiada yang beri. Saya malu kerana jadi begini," katanya dalam nada sebak sebelum ditenangkan pemilik TikTok terbabit.

Ezzuchang kemudiannya memesan teksi untuk menghantar remaja tersebut untuk pulang ke TBS sambil menghulurkan wang untuk membeli tiket ke mana-mana destinasi ingin ditujunya.

Terharu akan setiap bantuan diberikan, remaja itu mahu menyentuh kaki pemilik akaun TikTok berkenaan sebagai tanda hormat seperti mana sering dilakukan masyarakat India.

Bagaimananpun, dia pantas menghalang perbuatan tersebut dengan menyatakan setiap bantuan dihulurkan adalah ikhlas sebelum kedua-duanya memeluk antara satu sama lain.

Kisah sedemikian menceritakan orang ramai perlu sedia membantu mana-mana golongan mahupun individu dalam kesusahan tanpa perlu mengira latar belakang seseorang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram