ORANG ramai yang memiliki saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berpeluang menikmati potongan sebanyak 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tawaran itu meliputi semua jenis saman kecuali saman yang tidak boleh dikompaun.
Menurutnya, orang ramai digalakkan untuk mengambil kesempatan menyelesaikan saman masing-masing sama ada di kaunter JPJ atau melalui saluran pembayaran dalam talian yang disediakan.
"Kita menyeru orang ramai agar memanfaatkan tempoh dua bulan ini kerana diskaun 50 peratus diberikan bermula 1 November hingga 30 Disember.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli
"Namun, diskaun ini tidak melibatkan saman AwAS (Automated Awareness Safety System), Notis Siasatan 114, serta Notis Saman Berstempel JPJ(P)23 (115) yang dikuatkuasakan sejak awal tahun lalu.
"Selain itu, saman yang perlu dibawa ke mahkamah dan tidak boleh dikompaun juga tidak termasuk dalam tawaran ini," katanya pada sidang media khas Op Gempur pada Ahad.
Beliau turut menegaskan bahawa selepas 1 Januari 2026, tiada lagi sebarang diskaun akan diberikan bagi saman JPJ serta saman polis.
Sementara itu, Aedy Fadly memaklumkan JPJ turut melaksanakan Op Perang Lebih Muatan bermula 14 Oktober hingga 31 Disember bagi membanteras kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan.
"Setakat ini, sebanyak 27,300 kenderaan diperiksa dan 1,017 daripadanya dikesan membawa muatan melampau.
"Sebanyak 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan telah dikenakan saman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (P22), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan 96 lori turut disita.
“Kenderaan yang sering menjadi sasaran ialah yang membawa bahan seperti batu, pasir, besi dan bahan binaan lain yang lazimnya beroperasi di kawasan kuari serta kilang besi," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
