[VIDEO] UPSI cipta rekod MBOR penyertaan terbesar pakaian tradisional di PULARA 2025


  • Massa
  • Ahad, 26 Okt 2025

Wakil MBOR menyerahkan sijil Malaysia Book of Records kepada Md Amin (empat dari kiri) sempena Majlis Perasmian Festival PULARA 2025 di Dataran Lumut, Perak

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Largest Participation Wearing Traditional Attire in a Gathering sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-11 di Dataran Lumut, Perak pada Sabtu.

Lebih 20,000 peserta terdiri daripada warga UPSI, pelajar antarabangsa, penggiat seni, pendidik dan pencinta budaya menyertai perhimpunan berwarna-warni itu dengan mengenakan pelbagai busana tradisional, menggambarkan kekayaan budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja mengangkat martabat seni dan budaya, malah memperkukuh peranan UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi yang memelihara warisan bangsa.

BACA LAGI: UPSI cipta rekod menerusi Millenia Bubble Run sempena Hari Sukan Negara

BACA LAGI: Dua pelajar cemerlang UPSI raih 2 Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025

“Alhamdulillah, malam ini kita berhimpun dalam suasana penuh bermakna, penuh warna-warni, menghimpunkan cendekiawan, seniman dan pencinta bahasa bukan sahaja dari dalam negara, malah dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zambry (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Festival PULARA 2025 di Dataran Lumut.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang juga pengasas festival berkenaan.

Menurut Md Amin, sokongan Zambry dalam penganjuran PULARA menunjukkan bahawa seni dan budaya tidak dipisahkan daripada pembangunan ilmu di institusi pengajian tinggi.

PULARA ke-11 berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober dan menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Program tersebut turut menampilkan lebih 100 persembahan seni budaya, 50 gerai pameran melibatkan 18 institusi pengajian tinggi serta penyertaan 82 pelajar antarabangsa dari 19 negara.

Antara pengisian utama ialah Program Narasi dan Puncak Puisi bersama Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari dan Datuk Dr Zurinah Hassan, Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA), Program Lestaria serta Titian Budaya yang melibatkan program keluarga angkat untuk pelajar antarabangsa.

Persembahan tarian tradisional sempena Majlis Perasmian Festival PULARA 2025 di Dataran Lumut.

Turut diadakan, Karnival Jualan Rahmah dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Kejayaan ini adalah milik semua. Saya menghargai komitmen dan kerjasama semua pihak yang menjayakan PULARA 2025 sehingga mencipta rekod bersejarah ini,” katanya.

Festival turut dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air antaranya Sabri Yunus, Harry Khalifah, Sharifah Khasif, Devotees, Kopratasa, Floor 88 dan Combi yang menghiburkan ribuan pengunjung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram