UPSI cipta rekod menerusi Millenia Bubble Run sempena Hari Sukan Negara


  • Massa
  • Rabu, 15 Okt 2025

Antara lebih 2000 peserta larian sempena Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

SEMANGAT sukan, kesihatan dan kesejahteraan mental disatukan melalui penganjuran Millenia Bubble Run Mental Health x Malaysia Day 2025 sejauh lima kilometer di Gerbang Suria Sport City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim pada Rabu.

Acara itu berlangsung bersempena Perhimpunan Bulanan Edisi Oktober dan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat UPSI, menghimpunkan lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada warga universiti, pelajar sekolah, serta komuniti setempat.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr Suriani Abu Bakar berkata penganjuran Bubble Run bukan sekadar aktiviti santai, tetapi platform penting bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesejahteraan mental melalui pendekatan fizikal yang menyeronokkan.

BACA LAGI: Dua pelajar cemerlang UPSI raih 2 Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025

BACA LAGI: 42 pelajar UPSI terbabit nahas bas di Gerik terima sumbangan RM10,000

Prof Dr Suriani (empat dari kanan) menyempurnakan acara pelepasan para peserta larian sempena Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

“Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO bagi 2025, aktiviti sukan yang dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu mampu menurunkan kadar kemurungan dan kebimbangan sehingga 30 peratus. 

“Gabungan Bubble Run dan Hari Sukan Negara ini amat bertepatan untuk menyampaikan mesej kesejahteraan mental dalam suasana yang positif dan menyeronokkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Suriani berkata, program yang bakal direkodkan dalam Malaysia Book of Records itu mencerminkan komitmen UPSI untuk memperkukuh budaya sihat di kalangan warganya melalui gabungan sukan, inovasi dan data.

“Ini bukan sekadar rekod penyertaan, tetapi simbol semangat warga UPSI yang proaktif, kreatif dan berinovasi dalam menyampaikan mesej kesihatan mental melalui aktiviti fizikal,” ujar beliau.

Prof Dr Suriani (empat dari kiri) bergambar bersama barisan pengurusan universiti sebelum merasmikan Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Sementara itu, Pengarah Program Millenia Bubble Run Mental Health x Malaysia Day, Izzah Ilyana Kamal, 22, berkata program tersebut direka khas bagi menggabungkan elemen keseronokan, kebersamaan dan kesedaran kesihatan mental dalam satu acara.

“Larian sejauh lima kilometer ini diadakan dalam suasana penuh warna-warni dengan buih sabun, muzik dan sorakan peserta. 

Menurutnya, penganjuran kali ini turut disertai pelbagai agensi dan komuniti tempatan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Negeri Perak, dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Daerah Muallim 2025.

“Kami mahu menunjukkan bahawa UPSI bukan sahaja tempat menimba ilmu, tetapi juga pusat komuniti yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram