Dua pelajar cemerlang UPSI raih 2 Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025


  • Massa
  • Khamis, 02 Okt 2025

Shankar (kanan) bersama Abbas Ali bergambar sambil memegang replika cek anugerah dan trofi sempena Majlis ATSN di Hotel Marriott Putrajaya baru-baru ini.

NAMA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama apabila dua mahasiswanya, Ng Zhen Fan Shankar dan Abbas Ali Iftikhar Hussain, dinobatkan sebagai penerima anugerah utama pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 di Hotel Marriott Putrajaya, Rabu lalu.

Shankar, anak jati Klang yang baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, dinobatkan Tokoh Siswa Negara 2025, sekali gus menerima replika cek RM5,000, geran mobiliti, trofi dan sijil.

Sementara itu, rakan sekampusnya, Abbas Ali turut mengukir kejayaan apabila meraih Anugerah Tokoh Kelestarian Siswa, mengukuhkan reputasi UPSI sebagai universiti yang melahirkan barisan pelajar berkaliber.

BACA LAGI: 42 pelajar UPSI terbabit nahas bas di Gerik terima sumbangan RM10,000

BACA LAGI: Bukan sekadar peraga fesyen, UPSI semarakkan semangat merdeka menerusi perarakan pakaian tradisional

Tokoh Siswa Negara 2025, Ng Zhen Fan Shankar

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang menegaskan bahawa program itu bukan sekadar pengiktirafan, malah medan melahirkan pemimpin pelapis negara.

“Universiti, politeknik dan kolej komuniti perlu terus menyediakan platform kepimpinan di kampus supaya potensi mahasiswa dapat menyerlah,” katanya.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff pula menyifatkan kejayaan itu bukti mahasiswa UPSI mampu bersaing di peringkat tertinggi.

"UPSI sentiasa memberi ruang kepada pelajar untuk menggilap bakat melalui kepimpinan, kokurikulum dan kesukarelawanan.

"Kejayaan ini wajar dijadikan inspirasi oleh seluruh warga kampus,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Aneese Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman.

ATSN anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meraikan mahasiswa unggul dalam 13 kategori termasuk perpaduan, sukarelawan, inovasi, seni warisan, keusahawanan dan kepimpinan, selain dua kategori utama iaitu Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa dan Tokoh Siswa Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram