POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa isu berkaitan tuntutan bayaran upah menjahit pakaian seragam pegawai dan anggotanya yang kini tular di media sosial akan diselesaikan segera.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis Gilberd Philip Layang berkata, pasukan itu sedang berusaha bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi pusat bagi menyelaras peruntukan dan mempercepat proses bayaran.
Beliau berkata, jabatan itu memberi jaminan kebajikan warga pasukan sentiasa menjadi keutamaan dan usaha digerakkan agar tuntutan diselesaikan dalam tempoh terdekat berdasarkan tatacara kewangan dan perolehan yang sedang berkuat kuasa.
BACA LAGI: Hukuman rotan di sekolah wajar dikembalikan tapi bersyarat — PM Anwar
“PDRM mengambil maklum mengenai isu tuntutan bayaran upah jahit pakaian seragam polis dan memahami keresahan warga pasukan berkaitan perkara ini.
“PDRM menggesa semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada proses pentadbiran yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, perkara itu tidak menjejaskan kesiapsiagaan serta tanggungjawab utama PDRM dalam memastikan keselamatan negara terpelihara, terutama menjelang pelaksanaan pelbagai acara antarabangsa sepanjang tahun ini.
“PDRM kekal komited memastikan kebajikan setiap pegawai dan anggota terus dipelihara selaras dengan prinsip kesejahteraan perkhidmatan awam dan semangat MADANI,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
