PEMINAT Liverpool dikejutkan dengan tindakan bintang utama mereka, Mohamed Salah yang dilaporkan memadam hampir semua jejak berkaitan kelab daripada bio, gambar profil, dan gambar header di platform X.
Tindakan tersebut mencetuskan spekulasi dan kebimbangan tentang masa depannya di Anfield.
Perubahan itu berlaku selepas Salah diletakkan di bangku simpanan oleh pengurus Arne Slot dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Eintracht Frankfurt pada Khamis, yang menyaksikan Liverpool mencatatkan kemenangan besar 5-1.
BACA LAGI: Saya yang syor 7 pemain warisan ke FAM — Tengku Muda Pahang
BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah

Salah mencetuskan spekulasi dan kebimbangan peminat selepas dilaporkan memadam hampir semua jejak berkaitan Liverpool di platform X.
Keputusan pengurus itu dipercayai berkaitan dengan prestasi Salah yang semakin mendapat kritikan selepas beberapa perlawanan terakhir.
Malah, ketika dimasukkan dalam perlawanan tersebut, penyerang sayap itu menerima perhatian negatif selepas enggan menghantar bola kepada Florian Wirtz dengan percubaannya ditepis penjaga gol lawan.
Namun, meskipun tidak memerlukan khidmat tonggak utama pasukan, Liverpool masih berjaya mencatatkan tiga mata penuh yang sekali gus menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut.
Sebelum ini, terdapat laporan media antarabangsa yang menyebut bahawa Salah dan Liverpool berkemungkinan berpisah pada jendela perpindahan terdekat.
Walaupun begitu, keputusan tersebut dikatakan lebih berpihak kepada pemain kelahiran Mesir itu, dengan kelab juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan meletakkan harga £69 juta (RM389 juta) untuk mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Dalam perlawanan menentang Eintracht Frankfurt, Salah hanya bermain selama 16 minit pada penghujung separuh masa kedua, menggantikan penyerang muda Hugo Ekitike, yang turut menjaringkan gol pada minit ke-35.
Selain Ekitike, gol-gol lain Liverpool dijaringkan oleh Virgil van Dijk, Ibrahima Konate, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai.
Spekulasi mengenai masa depan Salah di Liverpool kini semakin memuncak, dengan ramai yang tertanya-tanya adakah itu petanda bahawa dia akan meninggalkan kelab tersebut dalam waktu terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
