HARGA emas global dijangka menamatkan rentak kenaikan sembilan minggu berturut-turut, susulan pembetulan mendadak apabila pasaran menilai semula siri kenaikan yang disifatkan telah melepasi paras nilai sebenar logam berharga itu.
Setakat Jumaat, emas kekal stabil di atas paras AS$4,140 seauns, namun berada di landasan penurunan mingguan kira-kira tiga peratus, yang merupakan kejatuhan terbesar sejak Mei lalu.
Penganalisis pasaran menjangkakan sekiranya harga emas menembusi paras sokongan AS$4,000 seauns apabila pasaran Amerika Syarikat dibuka, fenomena 'panic selling' berkemungkinan besar berlaku.
BACA LAGI: Ramai resah STR Fasa 4 masuk lambat, proses kredit dah 6 hari tapi bayaran belum nampak bayang
BACA LAGI: Integrasi MyDigital ID dalam aplikasi myPTPTN bantu urusan lebih selamat, efisien

Emas bukan sekadar aksesori, sebaliknya menjadi aset pelaburan kerana nilainya yang tidak susut. — Gambar hiasan
"Harga emas sudah meningkat terlalu banyak sepanjang tahun ini, maka pembetulan harga adalah sesuatu yang dijangka,” kata seorang pemerhati pasaran, Abe Nazz Zain yang juga Pempengaruh Bebas Kewangan di Facebook.
Menurutnya, antara faktor utama yang mempercepatkan pergerakan harga ialah peningkatan pelaburan emas melalui Exchange Traded Fund (ETF) — instrumen yang membolehkan pelabur membeli atau menjual emas dengan mudah berbanding pegangan fizikal.
Dalam kalangan komuniti pelabur, ada pandangan bahawa pemain besar seperti pelabur kritpo dan Wall Street sedang menunggu kejatuhan harga emas dari paras puncak bagi menarik semula aliran modal ke dalam pasaran saham dan mata wang kripto.
Ini kerana secara tradisinya, harga emas meningkat apabila sentimen pasaran dipenuhi ketakutan, manakala saham dan kripto pula menjadi pilihan mereka yang gemar mengambil risiko.
Namun, bagi pelabur jangka panjang, penurunan ini dilihat sebagai peluang membeli semula pada harga rendah.
“Saya tak faham kenapa nak 'panic selling' bila harga emas jatuh. Ini cuma pembetulan harga emas. Bagi saya, ini peluang untuk tambah simpanan emas,” kata seorang pengguna Facebook, Zuraidah K. Johari.
Seorang lagi pengguna Facebook, Arjuna Malaya Sr berpendapat, sama ada emas fizikal atau digital, kedua-duanya mempunyai risiko tersendiri tetapi tujuan utama pembelian emas ialah sebagai simpanan jangka panjang dan pelindung nilai.
“Setiap yang naik akan turun, dan setiap yang turun akan naik. Emas ini penyimpan nilai sejati. Harga mungkin turun, tapi nilainya kekal,” tambahnya.
Dalam jangka panjang, sejarah menunjukkan pemilik emas sejak dekad 1990-an masih menikmati keuntungan tinggi meskipun berdepan turun naik pasaran.
Bagi mereka, emas bukan sekadar pelaburan, tetapi 'penyelamat terakhir' atau 'last resort' ketika terdesak kewangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
